HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Jun 2008

Liwat: Usaha terancang sekat kemaraan Pakatan kuasai Putrajaya
Salmah Mat Husain


KOTA BHARU (Hrkh) - Isu dakwaan liwat kononnya dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap usaha terancang pihak tertentu bagi menyekat kemaraan Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya dalam masa terdekat ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, tuduhan liwat kali kedua terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu disifatnya sebagai usaha menyekat kemaraan kerajaan baru yang semakin mara ke Putrajaya.

“ Akibat keutuhan kerjasama dan pengaruh Pakatan, pihak lawan menghidupkan semula pertuduhan lapuk dengan harapan sekali lagi Anwar cuba dibuktikan melakukan kesalahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan dilaporkan mendakwa diliwat oleh Ketua Umum KeADILan terbabit. Bagaimanapun Anwar menafikan segala tuduhan itu.

Husam berkata, pertuduhan pertama pada 1998 yang masih segar di ingatan rakyat sehingga meninggalkan kesan yang besar kepada senario politik negara.

“ Betapa ia bukan sekadar hampir meranapkan karier politik Datuk Seri Anwar, bahkan keaiban yang sudah pasti mencemar nama baik dan maruah beliau serta keluarga.

“ Secara sedar atau tidak, kezaliman yang terhasil dan implikasi pertuduhan yang melibatkan banyak pihak tentunya memberi kesan yang negatif kepada semua individu yang terbabit,” ujarnya.

Beliau yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkeyakinan penuh konspirasi terbaru yang terdesak itu tidak akan berjaya memandangkan rakyat dapat menilai sendiri.

Oleh itu kata beliau jaminan terbaik untuk memastikan keadilan ditegakkan dalam dakwaan itu Islam menetapkan empat saksi perlu dibawa bagi menyokong tuduhan dibuat.

“ Penekanan terhadap soal keadilan dan soal memperhalusi setiap pertuduhan boleh membawa mereka yang menuduh diambil tindakan sekiranya tuduhan itu ternyata palsu.

“ Peristiwa di mana lima Adun PAS Kelantan diculik pada 1964 seharusnya dijadikan peringatan dan saya pasti sikap rasional semua pihak dapat mengelakkan peristiwa seumpama itu berulang kembali,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik berhujah isu itu kemungkinan besar dicetus bagi menenggelamkan banyak konflik membabitkan pemimpin kanan Umno termasuk akuan bersumpah blogers, Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa pembabitan isteri Timbalan Perdana Menteri dalam kes Altantuya.

Selain itu, perpecahan dalaman Barisan Nasional (BN) di mana Parti Maju Sabah (SAPP) secara jelas menyatakan sudah tidak yakin lagi dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“ Sepatutnya konspirator yang mencetus isu tersebut belajar sejarah kegagalan BN pada pilihan raya umum lalu dan 1999 kerana isu yang hampir sama dicetus hari ini.

“ Kesilapan strategi ini akan menyebabkan kerajaan BN semakin cepat tumbang apabila rakyat tidak mampu lagi membendung kebencian mereka,” . - mj _

Tiada ulasan: