HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Jun 2008

"Malaysia perlu beralih kepada tenaga suria" Pakar
Oleh Bernama


Kuala Lumpur: Malaysia perlu mengenal pasti sumber tenaga paling menjimatkan dan berkekalan sambil menyusun langkah untuk mengurangkan kebergantungannya terhadap sumber fosil, kata seorang pakar.

Fellow Utama Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) Dr Mohamad Yusof Sulaiman berkata ini berdasarkan kepada fakta bahawa rizab minyak negara dijangka hanya mampu bertahan sehingga 22 tahun lagi jika Petronas gagal menemui telaga minyak baru dalam eksplorasinya.

Beliau memberitahu Bernama di sini tenaga suria adalah antara tenaga boleh dibaharui yang lebih selamat, mesra alam dan tidak akan habis seperti sumber tenaga konvensional iaitu minyak dan gas.

Kebanyakan negara maju seperti Jerman, Jepun dan Switzerland telah menggunakan tenaga suria untuk menjana kuasa elektrik.

Melalui teknologi suria fotovoltan (PV), tenaga suria akan diserap oleh sel solar sebelum dijana menjadi kuasa elektrik.

Namun begitu, teknologi suria PV masih mahal (kira-kira RM100,000 bagi satu set) kerana menggunakan silikon (pasir), sebagai komponen utama, yang kini mendapat permintaan tinggi di Eropah dan Amerika bagi membuat komponen elektronik.

"Kita sedang menjalankan kajian untuk menurunkan harga PV dengan menggunakan Kadmium Telluride (bahan kimia yang bertindak sebagai semi-konduktor) menggantikan silikon," kata Mohamad Yusof.

Panel suria yang menghasilkan kuasa eletrik 100 watt dijual pada harga RM5,000 tetapi harga itu akan kurang kepada sekitar RM1,500 jika dibeli secara pukal.

Tiada ulasan: