AMBIL SEMULA PULAU BATU PUTEH:TITAH SULTAN JOHOR WAJAR DISOKONG
Ruhanie Ahmad
Rakyat jelata Malaysia, khususnya warga Johor, wajar menyokong penuh azam murni DYMM Sultan Johor, Sultan Iskandar, untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh daripada Singapura.
Sokongan padu ini amat penting kerana Pulau Batu Puteh memang hak milik Kesultanan Johor Darul Takzim. Pulau ini juga warisan bangsa Melayu di bumi Malaysia yang berdaulat dan merdeka. Inilah hakikatnya. Inilah sejarahnya.
Lantaran itu, sifatkanlah iltizam Sultan Johor ini sebagai kemuncak kepada rasa tidak puas hati rakyat Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pulau Batu Puteh yang dibuat pada 23 Mei 2008.
Iltizam ini juga klimeks kepada kekecewaan rakyat Malaysia terhadap sikap kiasu serta semangat kejiranan Singapura yang terbukti seolah-olah tidak tulen dan tidak abadi kerana tergamak mempertikaikan status kedaulatan Pulau Batu Puteh berasaskan pelbagai agenda strategiknya yang tersendiri.
Oleh itu, Singapura perlu menerima titah Sultan Johor dengan sikap yang terbuka. Jangan sekali-kali republik ini menganggap kekuatan iltizam Sultan Johor untuk memiliki semula Pulau Puteh sebagai usaha mengeruhkan suasana harmoni di antara sesama jiran tetangga.
Strategik
Pihak berkuasa Malaysia pula tidak wajar menyifatkan titah Sultan Johor ini sebagai remeh dan tidak perlu dilayan dengan serius. Sebaliknya, gunakanlah pemikiran kritis, strategik dan kreatif untuk merangka pelbagai strategi serta mencari cara terbaik untuk memiliki semula kedaulatan pulau berkenaan.
Saya berpendirian begini kerana biarpun ICJ telah memberikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, dan keputusan itu dikatakan muktamad, sesungguhnya pasti masih terdapat jalan dan cara untuk mendapatkan semula jajahan takluk Johor ini, jika kita amat serius mengenainya.
Mungkin cara terbaik untuk memiliki semula pulau tersebut boleh diperolehi menerusi bantuan kumpulan pakar yang mampu merincikan seluruh khazanah strategik di bumi Johor yang sangat-sangat diperlukan oleh Singapura. Kemudiannya, gunakanlah cara ini untuk satu proses tawar-menawar dan perundingan yang efektif.
Cara terbaik juga mungkin boleh diperolehi daripada nasihat, bantuan dan kerjasama rangkaian sahabat strategik Malaysia dalam pelbagai aspek undang-undang, sejarah, diplomasi, geopolitik dan lain-lainnya. Hasil daripada usaha ini juga boleh dijadikan bahan tawar-menawar secara berhemah dan berkesan.
Pendek kata, ambillah iktibar serta wisdom daripada kebijaksanaan silam yang tersirat di sebalik pepatah dan peribahasa Melayu. Contohnya, kalau hendak dapatkan sagu pecahkanlah ruyungnya; di mana ada kemahuan di situ ada jalannya; jika hendak seribu daya jika tidak seribu dalih; biar putih tulang jangan putih mata; patah sayap bertongkat paruh namun tetap terbang jua.
Dokumen
Sewaktu bertitah di majlis pembukaan rasmi persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 19 Jun 2008, Sultan Johor telah dipetik oleh Bernama sebagai bertitah seperti berikut:
“Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Pulau Batu Puteh. Pulau Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu.”
Saya amat yakin Sultan Johor mengeluarkan titah di atas berasaskan dokumen, maklumat dan latarbelakang yang ada dalam makluman serta pengetahuan baginda.
Antaranya, sebelum menghadiri sessi akhir ICJ mengenai Pulau Batu Puteh di The Hague, Belanda, pertengahan Mei 2008 lalu, saya difahamkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, dipercayai telah menerima daripada Sultan Johor satu scroll dan dokumen sejarah yang sangat penting mengenai pulau tersebut.
Dokumen dan scroll ini dikatakan akan digunakan sebagai “senjata terakhir” dalam perbicaraan ICJ bagi menjamin serta mempertahankan kedaulatan Pulau Puteh terus kekal dimiliki oleh Malaysia.
Berasaskan scroll serta dokumen tersebut, Rais dikatakan telah memberitahu Sultan Johor bahawa kemungkinan besar keputusan ICJ mengenai Pulau Batu Puteh akan memihak kepada Malaysia.
Persoalannya di sini, adakah scroll dan dokumen penting ini telah benar-benar digunakan sebagai “senjata terakhir” Malaysia dalam perbicaraan ICJ? Jika tidak, mengapakah jadi begitu? Kemanakah perginya scroll dan dokumen ini sekarang?
Kecewa
Pada waktu yang sama, saya juga yakin bahawa Sultan Johor pasti berasa amat kecewa dengan apa yang telah diputuskan oleh ICJ mengenai Pulau Batu Puteh tempoh hari.
Kekecewaan ini mungkin wujud berasaskan pelbagai persoalan. Antaranya adalah seperti berikut:
1. Mengapakah kerajaan Malaysia seolah-olah tidak serius dalam usahanya mempertahankan Pulau Batu Puteh di ICJ?
2. Siapakah yang menasihati serta memuktamadkan pemilihan barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia yang terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht, James Crawford, Nicolaas Jan Schrijver, Marcelo G. Kohen, dan Penelope Nevill.
3. Mungkinkah di antara mereka terdapat proksi zionis dan neoimperialis yang dikhuatiri tidak langsung bersimpati terhadap Malaysia sebagai sebuah negara yang sering vokal terhadap soal-soal keganasan serta kezaliman zionis terhadap umat Islam di Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Tenggara?
4. Mengapakah Malaysia tidak bertindak strategik dan proaktif seperti Singapura yang telah melantik “komponen asing” barisan peguamnya dari kalangan pakar undang-undang yang cemerlang, mempunyai hubungan rapat dengan Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mempunyai sensitiviti, pengetahuan dan kefahaman mendalam mengenai geo-politik global?
5. Mengapakah dua hakim ICJ daripada Jerman dan Peranchis - dua kuasa besar di Eropah - serta daripada Venezuela yang jadi seteru utama Amerika Syarikat (AS) memberikan undinya mengenai Batu Putih kepada Malaysia?
6. Mengapakah keputusan para hakim ICJ daripada Russia, China dan Jepun - tiga negara yang intim dengan Malaysia di era Tun Dr Mahathir Mohamad – tidak memihak kepada Malaysia dalam kes Batu Puteh?
7. Mengapakah dua hakim ICJ yang beragama Islam - daripada Jordan dan Sierra Leone - seolah-olah tidak bersimpati dengan Malaysia yang pernah menjadi pengerusi Persidangan Islam Antarabangsa (OIC)?
8. Mengapakah 15 daripada 16 hakim ICJ pula memutuskan supaya kedaulatan Middle Rocks dan South Ledge yang terdekat dengan Singapura berbanding Pulau Batu Puteh, diberikan kepada Malaysia?
Integriti
Saya hormati integriti para hakim ICJ dalam membuat keputusan masing-masing mengenai kes Pulau Batu Puteh. Oleh itu, saya mempersoalkan hakikat di atas bukan untuk meragui integriti para hakim terbabit yang tidak memihak kepada Malaysia.
Sebaliknya, saya mempersoalkan hakikat di atas untuk mengetahui sejauh mana dan seserius manakah usaha-usaha diplomatik yang telah diambil oleh Malaysia untuk melobi sokongan daripada negara para hakim yang tidak memihak kepada Malaysia mengenai kes Pulau Batu Puteh, sebelum kes itu diberikan keputusan muktamad oleh ICJ.
Memang persoalan-persoalan di atas sudah jadi akademik untuk dibangkit dan diungkit pada ketika ini. Tetapi, demi Malaysia yang merdeka dan berdaulat, benarkah kerajaan kita sudah berkerja keras, secara bijaksana dan secara strategik untuk memenangi kes Pulau Batu Puteh?
Pastinya inilah antara persoalan besar yang turut jadi latarbelakang kepada titah Sultan Johor mengenai Pulau Batu Puteh baru-baru ini. Lantaran itu, adalah tidak salah untuk Sultan Johor membuat titah seperti di atas demi menebus kedaulatan negara yang sudah tergadai mungkin akibat kecuaian serta kesambil-lewaan kerajaan kita sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan