HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Jun 2008

Umno cuba pulih imej kembalikan permit Harakah
Salmah Mat Husain


KOTA BHARU (Hrkh) - Mungkinkah ada udang di sebalik batu apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermurah hati mengembalikan kekerapan penerbitan akhbar Harakah kepada lapan kali sebulan setelah lebih lapan tahun dipasung.

Nampaknya kerajaan Barisan Nasional (BN) terpaksa menenggelamkan kritikan yang pernah dilemparkan dalam perhimpunan agung parti itu selepas BN agak merudum pada pilihan raya umum 1999.

Ekoran itu Harakah terus disekat kerana dianggap berjaya membangkitkan pengaruh pembangkang sehingga PAS terus mengekalkan kerajaan di Kelantan dan menguasai Terengganu.

Ramai berhujah keputusan itu dibuat dengan berat hati semata-mata bagi memulihkan semula kedudukan Umno dan BN selepas gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di parlimen serta terlepas empat negeri.

Bagaimanapun bagi Pengerusi Kelab Penyokong PAS Malaysia, Hu Pang Chaw pihak pengurusan Harakah seharusnya memanfaatkan sebaik mungkin peluang tersebut bagi menyuarakan hak rakyat dan menegak kebenaran.

“ Saya mengucap tahniah kepada pemimpin dan pendokong PAS di atas kebenaran menerbitkan semula Harakah dua kali seminggu sebagaimana sebelum ini.

“ Keputusan KDN mengembalikan hak penerbitan dua kali seminggu sangat dialu-alukan selaras dengan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat secara adil dan cepat,” katanya di sini.

Pada 23 Jun lalu pihak pengurusan Harakah menerima surat KDN bertarikh 13 Jun 2008 yang dituju kepada Pejabat Urusan Harakah mengenai kebenaran permit penerbitan dua kali seminggu.

Pang Chaw berharap pasukan editorial dan kakitangan Harakah menerima memanfaatkan sepenuhnya peluang diberi memandangkan mereka sudah berpengalaman menerbitkan akhbar terbabit dua kali seminggu.

“Rakyat sebenarnya sudah lama inginkan situasi itu berlaku, bagaimanapun baru sekarang ia terjadi. Rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang politik mengharapkan laporan kemas, benar, adil dan saksama dari Harakah,” ujarnya.

Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim berkata, biar pun kerajaan BN menyekat penerbitan Harakah dalam tempoh begitu lama, namun kekuatan pembangkang tidak pernah susut.

Katanya, rakyat berpeluang mendapat berita semasa daripada pelbagai media yang ada sekarang termasuk sistem pesanan ringkas (SMS) dan internet.

“ Saya yakin dengan ruang yang diberi KDN, media oposisi seperti Harakah akan dapat mengatasi akhbar harian dari segi pengedaran kerana minat rakyat terhadap kerajaan BN sudah tepu,” katanya.

Hujah itu disokong anggota Parlimen Pasir Puteh, Mohamad Hussin yang melihat kerajaan BN kini berusaha keras membersihkan imej yang pudar kerana hampir tersungkur ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, rakan-rakan media tempatan di sini turut mengucap tahniah di atas perkembangan itu bagi memberi sedikit ruang kebebasan akhbar di negara ini. - mj _

Tiada ulasan: