HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Jun 2008

Masalah PATI di Sabah kritikal - Najib


KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melancarkan operasi besar-besaran untuk menangkap dan mengusir pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan melihat masalah PATI di negeri itu adalah kritikal dan perlu diselesaikan segera.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bila operasi itu akan dijalankan tetapi menjelaskan ia bakal dilaksanakan setelah pertemuan diadakan dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah untuk mendapatkan maklumat lanjut.

''PATI yang ditahan akan dihantar balik ke negara yang mahu menerima mereka dan perbincangan akan dilakukan dengan negara-negara jiran iaitu Indonesia serta Filipina mengenai tindakan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan.

''Kerajaan juga akan menambah pusat-pusat pemeriksaan dan meningkatkan jumlah anggota penguat kuasa di pusat pemeriksaan sedia ada untuk memastikan sempadan negara tidak dapat diceroboh oleh rakyat negara jiran," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai PATI di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Najib menambah, mesyuarat tersebut juga mendapatkan maklumat secara menyeluruh mengenai PATI dan langkah-langkah yang wajar serta perlu diambil oleh kerajaan.

Katanya, kerajaan ingin menzahirkan kesungguhan untuk mengurangkan masalah tersebut seperti yang dihasratkan oleh rakyat dan para pemimpin politik Sabah.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai operasi besar-besaran tersebut, beliau berkata, semua pendatang yang tidak mempunyai dokumen akan ditangkap serta diusir keluar.

''Jawatankuasa ini tidak akan mengambil kira jumlah atau berapa ramai PATI yang ada di Sabah, selagi mereka yang tidak mempunyai dokumen sah akan ditangkap serta diusir keluar.

''Ini termasuk rakyat asing yang datang secara sah tetapi telah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan mereka juga dianggap sebagai PATI serta akan ditahan untuk diusir keluar," katanya.

Beliau memberitahu, dalam tempoh 1990 hingga Mei tahun ini sebanyak 300,000 PATI di Sabah telah ditahan serta diusir keluar.

Ditanya mengenai PATI yang mempunyai kad pengenalan palsu Malaysia (MyKad), Najib berkata, setiap perkara yang membabitkan PATI sama ada berkaitan mereka yang mempunyai MyKad palsu atau dokumen-dokumen pengenalan diri lain akan diselesaikan semasa operasi itu dijalankan.

Tambahnya, PATI yang terdapat di pulau-pulau di Sabah seperti di Pulau Gaya juga tidak terkecuali dalam operasi tersebut.

Najib menjelaskan, kerajaan pada masa ini hanya berminat untuk menyelesaikan masalah kebanjiran PATI di Sabah secepat mungkin kerana ia kini telah berada pada tahap kritikal.

Ditanya punca kemasukan PATI yang terlalu ramai ke Sabah, beliau memberitahu, kebanyakan rakyat negara jiran tidak mengiktiraf sempadan negara yang telah ditetapkan.

''Kehadiran mereka juga disebabkan masalah mendapatkan pekerjaan di negara asal dan peluang ekonomi yang besar di Sabah," katanya.

Tiada ulasan: