HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Jun 2008

Tip menyelamatkan diri ketika kebakaran


1. Sesetengah ibu bapa lebih suka membiarkan pintu bilik tidur anak-anak terbuka ketika tidur dengan alasan mudah mengawasi dan mendengar suara anak . Namun, tindakan itu hanya menyebabkan api, asap dan haba cepat merebak ke dalam bilik berkenaan jika berlaku kebakaran. Oleh itu, anda digalakkan menutup pintu semua bilik supaya mempunyai lebih masa untuk menyelamatkan diri.

2. Kebanyakan rumah kediaman tidak mempunyai pintu rintangan api, jadi berhati-hati ketika membuka pintu. Jika terperangkap di dalam bilik semasa kebakaran, anda dinasihatkan merasai kehangatan daun pintu, tombol dan bingkai pintu dengan menggunakan belakang tangan sebelum membuka pintu. Jika terasa panas jangan buka pintu sebaliknya cari jalan alternatif.

3. Jika daun pintu tidak panas, anda dinasihatkan supaya melutut dan melekapkan bahu ke daun pintu terlebih dulu sebelum membuka pintu secara perlahan-lahan dan berhati-hati. Tindakan itu perlu bagi mengelakkan serbuan lidah api dan asap yang biasanya memenuhi bahagian atas ruang.

4. Jika haba dan asap mula memasuki bilik, tutup pintu rapat-rapat dan turut semua ruang atau lubang di bawah pintu dengan menggunakan tuala, cadar, selimut dan apa saja yang terdapat di dalam bilik berkenaan.

5. Jika laluan utama dihalang dengan api dan asap, anda boleh berusaha menyelamatkan diri melalui tingkap. Sebelum membuka tingkap, pastikan pintu bilik tertutup rapat bagi mengelakkan api merebak.

6. Sekiranya berada ditingkat satu cuba turun dengan cara yang selamat bagi mengelakkan kecederaan, keluarkan kaki dan cuba rendahkan diri lalu keluar melalui tingkap secara membelakang. Bergayut seketika pada sisi tingkap dan kemudian terjun.

7. Anak-anak boleh dikeluarkan dengan cara menghulurkan mereka ke bawah jika ada orang yang membantu. Jika tiada, cuba turunkan anak anda ke paras bawah sejauh mungkin dengan berhati-hati. Jangan terjun dulu dan meninggalkan anak-anak dengan tanggapan mereka akan mengikut anda, mungkin anak-anak enggan terkejut dan kemungkinan mereka tidak dapat diselamatkan.

8. Jika terperangkap dan anda berada di tingkat bawah, di nasihatkan supaya membuka tingkap sedikit di bahagian atas dan bawah bagi membolehkan asap keluar melalui bahagian atas dan udara bersih masuk di bahagian bawah.

9. Tutup ruang di bawah pintu dengan cadar, selimut, tuala bagi mengelakkan asap masuk ke ruang bilik. Jika ada telefon di dalam bilik, hubungi bomba dan jiran terdekat dan maklumkan kedudukan anda untuk memudahkan kerja menyelamat. Beri isyarat dengan berdiri berhampiran tingkap atau gunakan lampu picit atau kibarkan kain berwarna putih, terang supaya mudah dikesan.

10. Ketika kebakaran, udara panas dan asap akan memenuhi ruang atas dan gas beracun turun ke lantai manakala udara bersih di zon selamat untuk bernafas adalah satu hingga dua kaki (30 hingga 60 sentimeter) dari paras lantai.

11. Apabila asap memenuhi ruang, cara terbaik menyelamatkan diri adalah dengan merangkak dan kepala berada di zon selamat.

12. Jika pakaian terbakar, jangan berlari sebaliknya rebahkan badan, tutup muka dan berguling di lantai bagi memadamkannya. Apabila nampak orang lain terbakar, rebahkan mereka dan tutup dengan kain selimut atau guni basah bagi memadamkan kebakaran.

Tiada ulasan: