HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Jun 2008

Pemimpin Kelantan hanya dibenar guna penerbangan kelas ekonomi
Salmah Mat Husain


KOTA BHARU (Hrkh) - Kelantan menggariskan tujuh langkah ke arah menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri ekoran kenaikan harga minyak sekarang, yang berkuatkuasa serta merta.

Langkah itu perlu diikuti semua pemimpin, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri biar pun ia telah menjadi dasar pentadbiran di bawah kerajaan sekarang sejak 18 tahun lalu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, antara langkah penjimatan yang telah diputuskan iaitu kesemua pemimpin hanya dibenarkan menggunakan penerbangan kelas ekonomi sama ada urusan dalam dan luar negara.

“ Bagaimanapun kes-kes yang melibatkan kesihatan dikecualikan daripada menggunakan kelas berkenaan. Selain itu, tuntutan elaun anggota Exco kerajaan negeri serta pegawainya juga dihadkan.

“ Langkah tersebut diambil sebagai usaha berterusan menjaga ekonomi kerajaan negeri disebabkan peningkatan kos hidup sekarang,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Menurutnya juga mana-mana program yang melibatkan kerajaan negeri atau jabatan hendaklah diadakan di pejabat atau dewan-dewan milik kerajaan dan bukannya di hotel.

Manakala penggunaan peralatan elektrik seperti penghawa dingin, lampu dan komputer hendaklah dimatikan pada waktu rehat kecuali ada kakitangan yang sedang bertugas.

Selain itu, pengendalian perbelanjaan perayaan turut dikurangkan kepada 30 peratus berbanding biasa di samping menghentikan amalan menempah pakaian seragam urusetia sesuatu program.

“ Langkah penjimatan sebegini telah diingatkan kepada pegawai kerajaan negeri sejak PAS mula mentadbir negeri ini lebih 18 tahun lalu.

“ Bagaimanapun ia tiada pekeliling khusus berhubung perkara itu, namun sekarang kita akan mengeluarkan pekeliling mengenainya,” ujar beliau.

Antara langkah lain yang diambil iaitu penjimatan pembelian peralatan pejabat dan pemberhentian segera projek pembaikan taraf yang tidak diperlukan.

Menurutnya langkah berjimat cermat yang telah dilaksanakan di Kelantan bukan hanya ekoran kenaikan harga minyak, sebaliknya ia sudah lama dilaksanakan selaras kehendak syariat.

“ Islam mengajar setiap harta benda yang ada di dunia ini adalah kepunyaan Allah, jadi kita yang diberi tanggungjawab mengurus harta Allah ini jangan sampai boros dan dalam masa yang sama jangan kedekut.

“ Sejak awal lagi kita telah mengingatkan kakitangan kerajaan, belanjalah harta kerajaan ini dengan sebaiknya,” ujarnya. - mj _

Tiada ulasan: