HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Jun 2008

Penswastaan Taman Rimba Ampang perlu dikaji semula – Penduduk
Nyza Ayob


AMPANG (Hrkh) - Keindahan Taman Rimba Ampang yang suatu ketika dahulu menjadi tarikan orang ramai khususnya pada hujung minggu kini agak tergugat kerana penyelenggaraan yang dilihat semakin diabaikan.

Demikian antara luahan salah seorang penduduk Taman Bukit Ampang dalam sesi dialog bersama Adun Lembah Jaya, Khassim Abdul Aziz yang bertempat di Surau Taman Bukit Ampang, semalam.

Jelas penduduk terbabit, bukan sahaja penyelenggaraan taman rekreasi yang dahulunya dikenali dengan Taman Rekreasi Bukit Belacan itu diabaikan, paling mengejutkan mereka dan pengunjung ialah bayaran RM2 dikenakan untuk meletak kenderaan serta bayaran masuk RM1 bagi setiap pengunjung.

Menjawab isu yang dikemukakan oleh penduduk terbabit, Khassim mengakui sebelum ini beliau ada menerima aduan dan rungutan daripada penduduk yang kebanyakan mereka tidak berpuas hati dengan penyelenggaraan yang dilakukan di taman rekreasi tersebut sejak pengurusannya diambil alih oleh pihak swasta selepas pilihan raya baru-baru ini.

Jelasnya, melalui perjumpaannya dengan pihak Jabatan Perhutanan menyatakan sehingga kini jabatan tersebut tidak dimaklumkan bahawa pihak Pelancongan Selangor telah mengambil alih pengurusan Taman Rimba Ampang yang sebelum ini dimiliki oleh Jabatan Perhutanan.

Sehubungan itu katanya, beliau akan mendapatkan laporan sepenuhnya mengenai status pengurusan Taman Rimba Ampang melalui Jabatan Perhutanan dan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Di samping itu beliau mengharapkan penswastaan Taman Rimba Ampang itu dikaji semula oleh pihak yang terbabit.

"Sebagai Adun, sebenarnya saya tidak bersetuju sekiranya pengurusan Taman Rimba Ampang ini diambil alih oleh pihak swasta. Sepatutnya ia diambil alih oleh MPAJ kerana saya difahamkan MPAJ telah memperuntukkan hampir RM4 juta untuk kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut.

"Setelah MPAJ memperuntukkan belanja yang besar, akhirnya pihak Pelancongan Selangor mengambil alih dan akhirnya cuma membina tembok di pintu masuk serta mengutip cukai," katanya, sewaktu ditemui selepas majlis dialog.

Dalam pada itu, Khassim juga melahirkan rasa tidak puas hati kerana melalui lawatan mengejut yang dilakukannya ke Taman Rimba kira-kira sebulan lalu, beliau mendapati sistem penyelenggaraan kawasan tersebut amat mendukacitakan.

Katanya, selain bayaran yang dikenakan bagi meletak kenderaan serta bayaran masuk bagi setiap pengunjung, keadaan di kawasan tersebut agak kotor dengan sampah sarap sarap yang tidak dibersihkan.

Sementara itu, atas keprihatin dengan masalah tersebut, beliau mengajak wartawan dan jurugambar Harakahdaily meninjau ke lokasi Taman Rimba Ampang.

"Mungkin disebabkan bayaran yang dikenakan tidak ramai yang berkunjung. Bayangkan, mereka terpaksa berjalan hampir 2 kilometer dari tempat meletak kereta. Sepatutnya hujung minggu seperti ini dipenuhi dengan pengunjung,"

Demikian reaksi awal Khassim sebaik sahaja tiba di lokasi.

Beliau juga melahirkan kekesalan kerana pengunjung yang kelihatan di kalangan remaja tetap bermandi manda tanpa menghiraukan air sungai yang kotor dengan sampah sarap.

"Mungkin mereka tidak ada pilihan, tetap mandi walaupun air sungai kotor. Saya sendiri tidak tergamak hendak mandi dengan keadaan air sungai seperti ini," katanya.

"Saya akan mencadangkan kawasan ini diambil alih oleh MPAJ. Jika dilihat hari ini, kawasan ini lebih teruk jika dibandingkan sewaktu dikendalikan oleh MPAJ. Jika dahulu bayaran masuk percuma, tetapi sekarang bayaran dikenakan sedangkan penyelenggarakan tidak dilakukan," katanya, kesal.

Tambahnya, sekiranya MPAJ mengambil alih pengurusan Taman Rimba Ampang itu, pihaknya boleh bekerjasama dengan MPAJ termasuk mengadakan gotong royong membersihkan kawasan rekreasi tersebut.

Dalam pada itu, tinjauan Harakahdaily mendapati tandas dan surau yang disediakan juga berkunci dan kawasan sekitarnya tidak dibersihkan.

Sementara itu, menurut seorang peniaga yang ditemui, Shamsul Ahmad, jika sebelum ini peniaga di kawasan tersebut tidak mengenakan sebarang bayaran, sejak pengurusan baru itu, mereka dikenakan bayaran sebanyak RM5 sehari.

Peniaga tersebut juga menyatakan, pihak pengurusan juga sedang menawarkan kepada sesiapa yang berminat untuk mengendalikan bahagian tandas kerana tandas yang disediakan akan dikenakan bayaran 30 sen sekali masuk bagi setiap orang.

Beliau yang juga penduduk Lembah Jaya Utara, tidak jauh dari kawasan itu, melahirkan kekesalan kerana penyelenggaran tidak dilakukan oleh pihak terbabit.

"Lihatlah sampah sarap yang tidak disapu. Begitu juga dengan ranting kayu jatuh.Semuanya dibiarkan begitu sahaja. Pengunjung ramai yang merungut bukan sahaja bayaran masuk, malah mereka terpaksa berjalan jauh untuk masuk ke kawasan perkelahan. Tandas juga dikenakan bayaran," katanya.

Shamsul juga mengharapkan pihak MPAJ dapat mengambil alih semula pengurusan yung dilihat lebih berkesan jika dibandingkan dengan pihak pengurusan sekarang yang dilihat mengabaikan kebersihan serta keselesaan pengunjung. - mns_

Tiada ulasan: