HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Jun 2008

Empat tonggak Pemuda MIC Kedah letak jawatan


KULIM: Ketua Pemuda MIC Kedah R.Nantha Kumar dan tiga lagi pegawai kanan pergerakan itu di negeri itu meletak jawatan hari ini kerana membantah tindakan parti itu mengarahkan Ketua Pemuda pusat MIC S.A Vigneswaran supaya berundur.

Setiausaha Pemuda MIC Kedah, T.M Ganesan, Bendahari, M.Selvan dan Ketua Penerangan, S.Somasunther turut mengumumkan keputusan untuk meletak jawatan kerana tidak berpuas hati bahawa Vigneswaran diarah berundur kerana faktor usianya yang sudah menjangkau 41 tahun walaupun tempoh perkhidmatannya hanya berakhir pada 2009.

Bercakap pada satu sidang akhbar di sini, Nantha Kumar, 39, juga meminta Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu meletak jawatan memandangkan kekalahan di kawasan Parlimen Sungai Siput dalam pilihan raya umum Mac lepas merupakan satu petunjuk bahawa sudah sampai masanya bagi Samy Vellu menyerahkan kepimpinan parti kepada pemimpin pelapis.

"Jika sebelum ini Presiden MIC itu marah kerana pembangkang sahaja yang meminta beliau mengundurkan diri tetapi kini, saya dan rakan-rakan saya dari Pemuda MIC Kedah menyeru Datuk Seri Samy Vellu supaya meletak jawatan dengan kadar segera," katanya.

Nantha Kumar berkata beliau sedia menghadapi risiko dikenakan tindakan kelak.

Katanya langkah kepimpinan MIC meminta Vigneswaran meletak jawatan adalah satu penghinaan kepada semua perwakilan yang telah memberi mandat kepada Ketua Pemuda MIC itu memimpin pergerakan itu dari 2006 hingga 2009.

"Lebih memalukan lagi adalah kerana pengumuman kemenangan Vigneswaran ketika itu telah dilakukan Datuk Seri Samy Vellu sendiri selaku Presiden MIC pada persidangan kebangsaan MIC 2006 lalu," katanya.

Nantha Kumar berkata beliau menjangkakan pemimpin muda di peringkat bahagian MIC akan turut mengambil tindakan meletak jawatan selepas ini.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa terhadap badan perhubungan MIC Kedah kerana memberi laporan tidak tepat kepada Presiden MIC bahawa sebilangan besar Bahagian Pemuda MIC Kedah menyokong penuh kepimpinan Samy Vellu.

Setiausaha Agung MIC Datuk S.Subramaniam dilaporkan berkata pada 19 Jun lepas bahawa Vigneswaran dan beberapa pemimpin pemuda parti itu perlu segera meletak jawatan kerana umur masing-masing melebihi 40 tahun.

Vigneswaran bagaimanapun mempertikai takrif umur itu yang dibuat oleh parti.
BERNAMA

Tiada ulasan: