HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Jun 2008

Makin ramai guna kad kredit isi minyak -Pembelian petrol secara hutang di luar bandar naik 30 peratus
Oleh Ziauddin Sharuddin


KUALA LUMPUR: Penggunaan kad kredit untuk urusan pembelian minyak di stesen minyak seluruh negara meningkat antara 15 hingga 20 peratus sejak kerajaan melakukan penstrukturan semula subsidi minyak awal bulan ini.

Penggunaan kad kredit paling ketara adalah bagi urusan pembelian diesel yang kini mencecah 95 peratus, berbanding sebelum ini hanya 80 peratus. Kebanyakan pengguna diesel adalah kenderaan perdagangan.

Berkuat kuasa 4 Jun lalu, harga petrol dan diesel mencatatkan kenaikan masing-masing 40.6 peratus dan 63.3 peratus.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Mejar (B) Abdul Wahid Bidin, berkata pembelian petrol menggunakan kad kredit pula meningkat kepada 75 peratus daripada 55 peratus.

Malah, katanya penduduk kawasan luar bandar yang sebelum ini jarang menggunakan kad kredit mencatat peningkatan hingga 30 peratus.

Beliau berkata, kad kredit digunakan kerana mudah dimiliki berikutan syarat kelayakan yang minimum seperti hanya perlu berpendapatan RM1,500.

"Antara sebab peningkatan penggunaan ini ialah pengguna tidak perlu membayar tunai, sebaliknya boleh dijelaskan sebelum tarikh akhir pembayaran kad kredit.

"Selain itu, mereka boleh terus mengisi minyak tanpa perlu ke kaunter yang kadang-kadang terpaksa beratur, terutama apabila ramai pelanggan.

Abdul Wahid berkata, ramai menyangka pengusaha stesen minyak mendapat untung apabila pelanggan membayar menggunakan kad kredit, sedangkan pihak sebenar yang mengaut keuntungan adalah bank.

Katanya, pengusaha terpaksa membayar komisen satu peratus kepada bank, iaitu jika pelanggan membayar RM100, pengusaha mendapat RM99 dan RM1 dibayar kepada bank.

"Satu peratus kelihatan kecil, tetapi katakan satu peratus daripada sejuta liter yang dijual sebulan, iaitu sebanyak 10,000 liter. Ini bermakna caj yang dibayar kepada bank adalah RM27,000," katanya.

Selain itu, katanya pengusaha terpaksa menanggung kos kertas cetakan kad kredit. Satu gulung hanya RM6, tetapi peningkatan bilangan pelanggan menggunakan kad kredit menyebabkan ada pengusaha yang menanggung hingga RM700 sebulan hanya untuk kos kertas.

Sementara itu Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N Marimuthu, mengakui kad kredit digunakan secara meluas kerana memudahkan pengguna ketika berurusan di stesen minyak.

Katanya, kad kredit digunakan di seluruh dunia dan adalah sebahagian ciri kemajuan di sesebuah negara.

"Pengguna memang mempunyai hak untuk membeli apa saja, tetapi jika terperangkap dalam bebanan hutang, janganlah menangis. Paling baik adalah wang tunai tetapi tidak akan timbul masalah jika digunakan secara bijak," katanya.

Beliau berkata, pengguna hanya perlu memperuntukkan sebahagian wang untuk bayaran minyak kerana sudah tahu penggunaan purata minyak setiap bulan.

Tiada ulasan: