HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Jun 2008

Tabung Haji pastikan jemaah dapat kemudahan selesa


KUALA TERENGGANU: Lembaga Tabung Haji (TH) akan memastikan semua jemaah haji pada tahun ini mendapat kemudahan penginapan yang lebih selesa bersesuaian dengan kos yang dikenakan walaupun tempat penginapan yang disediakan kali ini jauh sedikit dari Masjidil Haram.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun sedikit jauh, ia dijamin tidak akan menyusahkan para jemaah haji untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Hotel yang dekat ada, tetapi jemaah kena bayar RM99,910 bagi seorang untuk satu bilik yang berkongsi dengan dua orang. Itupun hanya mampu menampung seramai 30 jemaah sahaja. Itulah harga yang terpaksa dibayar kalau mahu dekat. Saya fikir hanya mereka yang mampu saja layak tinggal di situ," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang zakat TH daripada penyimpan TH Terengganu bernilai RM2.6 juta.

Sumbangan disampaikan kepada Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Seri Panglima Raja Tengku Baderulzaman untuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di Istana Tetamu di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata reka bentuk Kompleks Tabung Haji yang akan dibina di Gong Badak di sini telah disiapkan dan proses pembinaannya dijangka akan dimulakan selewat-lewatnya awal tahun depan.

Kompleks berkenaan dijangka mempunyai 120 bilik untuk kegunaan jemaah haji dari Pantai Timur yang akan menggunakan pesawat boeing 747 berlepas terus ke Jeddah atau Madinah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk menunaikan ibadah haji.
BERNAMA

Tiada ulasan: