Paksa anak minum racun
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Hadzlihady Hassan
SUBANG JAYA: Bebanan hutang dan tekanan perasaan dikatakan menjadi punca seorang ibu sanggup bertindak di luar batasan dengan cuba membunuh dua anak kandungnya di Seri Kembangan dekat sini, kelmarin.
Dia yang bekerja sebagai jururawat dipercayai memaksa kedua-dua anak perempuannya yang berusia enam dan empat tahun minum racun rumpai selepas mendakwa cecair itu hanya air kosong.
Bagaimanapun, dia hanya sempat memberi racun itu kepada anak yang berusia enam tahun selepas seorang lagi menjerit dan menangis sekuat hati.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Polis masih menyiasat kejadian itu dan motif wanita berkenaan melakukan perbuatan terbabit. Dia kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan.
“Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, wanita berusia 39 tahun terbabit membawa kedua-dua anaknya itu menaiki kereta sebelum berhenti di tepi jalan.
Namun, katanya, perbuatan wanita itu disedari orang awam yang melihat kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan selepas terdengar jeritan dan tangisan anaknya berusia empat tahun.
Ketika itu, dia sempat memberi anaknya meneguk racun rumpai terbabit.
“Wanita itu panik lalu segera memberhentikan kereta berikutan seorang lagi anaknya menangis selepas melihat keadaan kakaknya.
“Perbuatan itu disedari orang awam yang melalui kawasan itu sebelum polis dimaklumkan.
“Polis yang bergegas ke lokasi kejadian menemui sebuah Proton Wira di tepi jalan sebelum pemeriksaan mendapati ada seorang wanita dan dua kanak-kanak di dalamnya dengan seorang daripadanya kelihatan lemah,” katanya.
Selepas mengesyaki perkara buruk, kata sumber itu, polis menahan wanita itu manakala dua anaknya dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.
Wanita berkenaan dibawa ke balai polis berhampiran.
Sumber itu berkata, mangsa diberikan racun rumpai ketika berada dalam kereta yang didakwa ibu mereka hanya air kosong.
“Kanak-kanak terbabit yang tidak mengetahui cecair itu racun terus meneguknya sebelum dia menjadi lemah,” katanya.
Difahamkan, hasil siasatan awal, wanita yang mempunyai tiga anak itu memberitahu dia melakukan perbuatan berkenaan kerana mengalami tekanan perasaan dan menanggung hutang yang banyak.
Tinjauan Harian Metro pula di wad kanak-kanak Hospital Serdang mendapati kedua-dua anak wanita berkenaan ditemani seorang wanita dipercayai anggota keluarga mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan