HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Jun 2008

Yahya Shahri letak jawatan, dijadual jumpa Anwar hari ini
Oleh Malaysiakini


PEGAWAI tugas-tugas khas menteri besar Selangor, Yahya Shahri meletakkan jawatannya itu atas alasan "hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim".

Yahya, yang mengirim surat peletakan jawatannya kepada bekas ketuanya itu petang tadi, juga melepaskan jawatannya sebagai setiausaha perhubungan PKR Selangor.

Selain hilang keyakinan, menurut surat peletakan jawatannya, Yahya tidak menyebut sebab-sebab lain kecuali ia akan "dinyatakan kemudian."

Surat itu dikirim kepada pejabat menteri besar melalui faksimili kira-kira 3.45 petang tadi.

Abdul Khalid pada sebelah pagi mengumumkan penggantungan jawatan Yahya - yang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salah guna kuasa dua minggu lepas - sebagai pegawai kanannya berkuatkuasa hari ini selama dua bulan.

Abdul Khalid semalam mengirim mesej SMS kepada Yahya memaklumkan tindakan yang bakal diambilnya hari ini bagi mengelakkan pegawainya itu "terperanjat."

Dalam ucapannya di depan hampir 200 penyokong di kediamannya di Seksyen 4 Shah Alam malam ini, Yahya juga mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatannya sebagai ketua perhubungan PKR Selangor.

Yahya mencadangkan jawatan itu diserahkan kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditemui Malaysiakini selepas ucapannya kira-kira jam 10 malam, Yahya berkata beliau telah bercakap dengan presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berhubung tindakan penggantungan terhadapnya dan kedudukannya itu.

Menurutnya, ahli parlimen Permatang Pauh itu mencadangkan beliau bertemu sendiri dengan Anwar.

Beliau dijadual bertemu penasihat parti itu di pejabatnya jam 2 petang esok dan dipercayai akan membawa "beberapa tuntutan."

Yahya, seorang aktivis lama PKR, berkata beliau mendapat sokongan dan berpengaruh dalam kalangan 70 hingga 80 peratus bahagian di negeri itu.

Beliau juga menjelaskan bahawa beliau tidak meluluskan sebarang projek atau tender, tetapi hanya memberikan surat sokongan.

Sementara itu di kediaman rasminya, Abdul Khalid sedang memberikan taklimat isu ini kepada wakil-wakil rakyat Selangor, termasuk ahli-ahli parlimen.

Sehingga kini belum jelas butiran perbincangan mereka yang bermula kira-kira 8 malam tadi. Malaysiakini difahamkan pertemuan ini "panas".

Pada 10 Jun lalu, BPR memanggil Yahya selama empat jam berhubung siasatan kes kelulusan kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah di kawasan Petaling Jaya.

Siasatan itu susulan aduan sekumpulan empat orang pada 5 Jun kepada BPR dengan dakwaan pegawai kanan tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa keizinan.

Di sidang medianya hari ini, menteri besar itu berkata jika tidak bersalah, pegawai kanan itu akan diambil semula bekerja.

"Kita tulus, kita kena buat dengan betul. Kalau pegawai itu tidak bersalah maknanya dia akan diambil balik untuk bekerja, kalau bersalah kita akan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya selepas melancarkan Pusat Khidmat Merakyatkan Ekonomi Selangor (M.E.S) di Shah Alam.

Abdul Khalid menambah, siasatan BPR mendapati pada keseluruhannya ia bukanlah kesalahan daripada segi undang-undang tetapi daripada segi "tingkah laku yang tidak wajar".

Tiada ulasan: