Pemilihan Umno: "Boleh guna wang kali ini" Muhyiddin
Oleh Bernama
Kuala Lumpur: Anggota Umno termasuk calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan parti bermula bulan depan boleh memberikan sumbangan kewangan kepada parti tetapi melalui saluran yang betul dan direkodkan, bukan melalui "jalan belakang".
Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan Peraturan parti berkata perkara yang terkandung dalam Tataetika Anggota Umno baru itu bertujuan mengelakkan salah tafsir dan perbuatan salah laku seperti politik wang.
Beliau berkata melalui tataetika baru yang berkuatkuasa sepanjang masa dan bukan sekadar ketika pemilihan sahaja, ia membenarkan anggota Umno (termasuk calon-calon) memberikan sumbangan kewangan kepada parti melalui Badan Perhubungan Umno Negeri dan Bahagian.
"Tataetika lebih longgar kerana dulu hanya menyatakan apa yang tidak boleh dibuat. Sekarang ini yang boleh dan tidak boleh. Kita tak kekang tetapi kita beri kebebasan, kerana itu hak ahli, tetapi ia perlu ikut cara-cara yang dibenarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Kumpulan Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) kali ke-12 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari Rabu.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengulas mengenai Tataetika Anggota Umno semasa pemilihan yang dikatakan melarang calon-calon daripada menghadiri majlis keramaian seperti kenduri kahwin, tahlil dan kesyukuran kerana dikhuatiri akan disalahguna untuk melobi.
Tataetika itu juga menegah bakal calon menggunakan ejen, pelobi, pengurus kempen dan perayu undi bagi mengelakkan tindakan tegas seperti menggantung dan dipecat keanggotaan diambil ke atas mereka yang terbabit.
Muhyiddin juga mengulangi kenyataannya semalam bahawa tataetika itu tidak melarang calon-calon hadir ke majlis keramaian, sebaliknya menegah daripada menggunakan majlis itu untuk berucap atau berkempen bagi meraih sokongan.
"Kita bukannya takut dengan bayang-bayang sendiri tapi pengalaman lepas tak kawal (kempen) ia akan sampai kepada batas berlebihan termasuk amalan politik wang," katanya menegaskan tataetika baru itu sebenarnya bertujuan menambahbaik tataetika sedia ada.
Beliau berkata calon boleh memperkenalkan diri kepada perwakilan dalam majlis-majlis yang dianjurkan Badan Perhubungan Umno Negeri masing-masing bagi mendapatkan sokongan anggota parti.
Tataetika itu sepatutnya tidak perlu jika semua pihak jujur dalam perjuangan dan mengikut peraturan dan perlembagaan parti, sebagaimana perjuangan anggota Umno pada suatu ketika dahulu, kata Muhyiddin.
Pemilihan Umno peringkat cawangan bermula 17 Julai, diikuti pemilihan peringkat bahagian bermula 9 Okt, sebelum disusuli pemilihan peringkat pusat untuk jawatan tertinggi parti dari 16 hingga 21 Dis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan