HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Jun 2008

PKR Selangor tekad sokong Khalid selesai kemelut - Anwar


KUALA LUMPUR: Kemelut kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor menurut Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah selesai dengan parti itu menyatakan sokongan kepada beliau dalam mesyuarat di Kuala Lumpur, semalam.

Anwar sendiri telah menghadiri mesyuarat khas tersebut yang diadakan malam tadi.

Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali dan Naib Presiden Azmin Ali serta Khalid sendiri hadir.

"Alhamdulillah mesyuarat berakhir dengan muafakat menyokong kepimpinan Tan Sri Khalid di Selangor, menghargai jasa dan khidmat Mohd Yahya Mat Sahri (bekas pegawai tugas-tugas Menteri Besar).

Kata Anwar, sementara pihaknya maklum keperluan Yahya Sahri membersihkan namanya, sumbangan beliau kepada PKR khususnya di Selangor masih diperlukan.

Mesyuarat itu diadakan sehari selepas Anwar pulang dari menunaikan umrah petang semalam.

Kelmarin beliau dikatakan mengadakan pertemuan berasingan dengan Khalid dan Yahya Sahri.

Selain itu, kira-kira 17 Ketua Bahagian PKR Selangor menyerahkan tuntutan berkaitan rasa tidak puas hati mereka berhubung soal pengagihan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri oleh Khalid.

“Tidak dinafikan bukan hanya masalah pengagihan jawatan yang dipertikaikan, tetapi mereka mahu kebajikan ahli-ahli PKR yang setia dengan parti sejak mula ia ditubuhkan dibela,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr. Badrul Amin Bahron kelmarin.

Dalam pada itu, Yahya Shari berkata, Khalid menggantung jawatannya tanpa mengikut prosedur.

Yahya ketika dihubungi mStar Online berkata bekas, ketuanya itu sepatutnya merujuk kes beliau kepada Jawatankuasa Khas kerajaan negeri sebelum apa-apa tindakan diambil.

“MB tidak boleh menggantung tugas saya begitu sahaja. Dia perlu rujuk jawatankuasa dulu sebelum buat tindakan,” katanya.

Bagaimanapun Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam memutuskan agar isu tersebut diselesaikan secara berhemah setelah mendengar penjelasan Yahya dan Khalid.

Yahya sendiri menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Anwar yang mempengerusikan mesyuarat itu menasihatkan agar Yahya Shari dan Khalid menyelesaikan masalah yang timbul secara aman tanpa perlu melibatkan pihak media.

“Datuk Seri minta masalah ini diselesaikan dengan bijak. Oleh itu saya akur dan berjanji akan terus berkhidmat untuk kepentingan parti,” katanya.

Yahya menjelaskan, keputusannya meletakkan jawatan kerajaan negeri adalah muktamad tetapi beliau masih memegang jawatannya sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) PKR.

“Sekarang saya akan menumpukan kepada tugas-tugas untuk memperkukuhkan parti. Walau apa jua yang berlaku, parti akan tetap diutamakan,” katanya.

Tiada ulasan: