MB Selangor rasmi Bangi sebagai 'Bandar Ilmu'
Salmiyah Harun
BANGI (Hrkh) - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, asas keilmuan yang ada pada seseorang itu adalah keterbukaan mindanya untuk menerima pemikiran dan pendapat yang berbeza-beza.
Katanya, ketidaksamaan pemikiran itu harus diterima yang penting ia bertujuan memberi kemenangan kepada rakyat.
"Pandangan dan pendapat yang berbeza akhirnya akan meningkatkan pemikiran masyarakat ke tahap yang lebih tinggi,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Bandar Baru Bangi sebagai Bangi Bandar Ilmu di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) semalam.
Menurut beliau, kerajaan negeri menyokong sepenuhnya usaha menjadikan Bangi Bandar Ilmu memandangkan prasarana yang cukup termasuklah dikelilingi berpuluh-puluh institusi pendidikan.
"Kalau dilihat secara menyeluruh, pendapatan perkapita penduduk Bangi dikatakan tinggi berbanding kawasan lain, bahkan ahli keluarga di sini boleh berbelanja mendapatkan bahan bacaan untuk anak-anak mereka,"katanya.
Sehubungan itu, katanya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam perancangannya untuk mengusahakan 'book mall' yang memberi kemudahan orang ramai membaca dan membeli buku.
Bahkan katanya, penjualan buku pula bukan sahaja boleh didapati di kedai buku tetapi kerajaan berhasrat memperluaskan misalnya di tempat-tempat makan.
"Usahawan-usahawan yang ingin menjual buku-buku diberikan tempat yang sesuai dan kos sewaan mestilah rendah supaya mereka dapat menjana keupayaan untuk menarik pelanggan dan apabila mereka dikenali masyarakat maknanya dia boleh membayar dengan harga yang sesuai,"ulasnya.
Usaha itu juga, kata beliau perlu ada pemasaran yang baik supaya dapat memasarkan dan menarik mereka yang berminat untk mencari dan membeli buku.
Ketika ditanya tentang kritikan dan dakwaan sesetengah pihak berhubung pentadbiran di Selangor, Khalid sentiasa bersikap terbuka malah menggalakan mana-mana pihak untuk mengeluarkan pendapat yang berbeza.
"Saya memang galakkan sebab 'jejak ilmuan' ini menggalakkan perbezaan pendapat, asalkan ia adalah untuk mencari kebenaran, jadi mereka yang tidak mencari kebenaran akan tertinggal dalam 'jejak ilmuan',"katanya.
Sementara itu, Adun Kawasan Bangi, Dr Shafie Abu Bakar ketika ditemui dalam sidang media berkata, usaha menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai Bandar Ilmu adalah salah satu Manifesto PAS dalam pilihan raya baru-baru ini.
Malah katanya, dalam merealisasikan usaha itu secara tidak langsung akan memberi konsep dan falsafah kepada masyarakat Bangi agar mereka percakapan mereka berpaksikan kepada ilmiah.
"Inilah misi utama, supaya rakyat Bangi bukan bercakap kosong, tetapi penuh dengan ilmu dan fakta-fakta yang tepat, gaya seperti orang berilmu,"katanya.
Ekoran itu, beliau turut menggariskan beberapa pendekatan ilmiah bagi merealisasikan usaha itu, antaranya menerbitkan jurnal Bangi, mengadakan seminar, konvensyen, serta dialog antara kaum.
"Kita akan manfaatkan masyarakat Bangi yang ramai dikalangan pendidik untuk mengadakan perbincangan dan kuliah berhubung usaha itu bersama-sama rakyat kawasan ini,"katanya.
Hampir 1000 penduduk Bangi mengikuti pelancaran itu yang turut membentangkan dua kertas kerja iaitu 'Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu' oleh Prof. Dr Shahrir Md Zin, kertas kedua 'Keperluan Infrastruktur Melengkapkan Bangi Bandar Ilmu' oleh Prof.
Chamuri Siwar. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan