HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Jun 2008

Peruntukan RM1.8 juta untuk usahawan ibu tunggal


SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi meluluskan peruntukan berjumlah RM1.8 juta kepada Persatuan Ibu Tunggal Malaysia bagi membantu anggotanya yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Menterinya, Datuk Noh Omar berkata daripada jumlah itu, RM500,000 diperuntukkan melalui agensi di bawah kementerian, Institut Keusahawanan Negara (Insken) bagi perlaksanaan program atau kursus berkaitan keusahawanan, RM1 juta melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi ibu tunggal yang berminat memulakan perniagaan dan baki RM300,000 disalurkan dalam bentuk geran untuk persatuan itu menguruskan koperasi mereka sendiri.

"Persatuan perlu atur program dan kursus, sementara sukatan pelajaran dalam program itu akan disediakan oleh Insken dan bila dah ada program maklumkan dan Insken akan beri peruntukan berdasarkan jumlah peserta yang mengikuti program itu," katanya semasa berucap pada Majlis Dialog Bersama Persatuan Ibu Tunggal Malaysia di sini.

Katanya, bagi ibu tunggal yang ingin berniaga, mereka boleh memohon kepada Mara dan agensi itu akan sediakan peralatan dan kelengkapan asas yang diperlukan.

Noh berkata, peruntukan yang diberikan oleh kerajaan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin terutama dalam memastikan ia mampu menjana pendapatan golongan ibu tunggal. BERNAMA

Tiada ulasan: