Apabila wartawan boikot sidang akhbar gara-gara larangan 'bersejarah' Parlimen
KUALA LUMPUR: Buat pertama kali dalam sejarah Parlimen, pemberita dilarang dari kawasan lobi Parlimen, dan untuk membalas tindakan itu, pihak media dengan tidak disangka-sangka menunjukkkan perpaduannya dengan memboikot semua persidangan akhbar yang diadakan di Parlimen, termasuk oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Ini merupakan pertama kali dalam liputan media Parlimen, anggota media mengambil tindakan tegas untuk melahirkan perasaan tidak puashatinya dengan "peraturan yang tidak mesra itu" oleh pengurusan Parlimen.
Berikutan dengan dua persidangan akhbar oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan satu persidangan akhbar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), TV3, Berita Harian dan agensi berita asing membuat liputan.
Kejutan berita yang kasar
Anggota media diberikan "kejutan berita yang kasar" pagi tadi apabila mereka dilarang memasuki kawasan lobi Parlimen oleh anggota keselamatannya yang mengatakan mereka bertindak atas arahan pejabat pentadbiran Parlimen, memutuskan hanya menumpukan liputan proseding Dewan Rakyat.
Wakil media, yang membuat liputan pada mesyuarat kedua, sesi pertama Parlimen ke-12, dimaklumkan bahawa mereka hanya dibenarkan berada di satu sudut lobi itu yang dikhaskan untuk persidangan akhbar.
Tidak ada kenyataan dikeluarkan oleh pentadbiran Parlimen mengenai peraturan baru tersebut sebelum ini, atau sebarang kenyataan lisan.
Hanya penghadang diletakkan dengan papan tanda yang menyatakan bahawa pemberita tidak dibenarkan berada di kawasan itu.
Kenyataan yang hanya diterima oleh media daripada pentadbiran Parlimen ialah pada Jumaat untuk memaklumkan mengenai peraturan baru itu yang terhad kepada lima pemberita saja dari setiap pertubuhan media akan dibenarkan membuat liputan proseding Parlimen atas sebab keselamatan.
Ahli Parlimen bersimpati
Beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan juga pembangkang, yang bersimpati dengan media cuba mendapatkan pihak Parlimen untuk menarik balik larangan itu, bagaimanapun mereka gagal.
Percubaan pertama dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung, DAP Lim Guan Eng (DAP-Bagan) apabila beliau mengambil peluang untuk menanyakan kepada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang mempengerusikan sesi pertama hari ini, untuk menarik balik larangan itu apabila tiba gilirannya untuk menanyakan soalan pertama dalam sesi soal dan jawab hari ini.
"Saya fikir bahawa larangan ini tidak menghormati peranan media massa dan akan menjejaskan usaha mereka dalam menjalankan tugasnya dan dengan itu menyeru supaya larangan itu ditarik balik.
"Larangan ini tidak selaras dengan kebebasan akhbar dan semangat Parlimen. Saya harap larangan itu boleh ditarik balik," kata beliau.
Peraturan baru
Wan Junaidi menjawab bahawa peraturan baru itu berikutan dengan satu konsensus yang dicapai dalam perbincangan antara ketiga-tiga mereka yang baru dilantik, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, pada sesi Parlimen lepas bagi memastikan terdapat ketenteraman dan kawalan di kawasan lobi.
Wan Junaidi berkata, oleh kerana perkara itu dibangkitkan, peraturan baru tersebut akan dibincangkan sekali lagi dan hasilnya dijangka diumumkan oleh Pandikar Amin tidak lama lagi.
Lim Kit Siang, (DAP-Ipoh Timur) juga membangkitkan isu itu apabila usulnya bagi membincangkan akuan berkanun penulis blog Raja Petra Kamaruddin ditolak oleh Dewan Rakyat berkata bahawa Parlimen melayan wartawan seperti haiwan liar yang merbahaya.
Anggota pembangkang dari DAP itu berkata satu keputusan hendaklah dibuat dengan segera kerana perkara tersebut mendapat liputan antarabangsa dan merasakan mengehadkan media dalam menjalankan tugasnya memalukan dan parlimen hendaklah lebih terbuka.
Pandikar Amin Mulia semasa mempengerusikan sesi sebelah petang berkata Parlimen menunggu maklum balas daripada pertubuhan media mengenai peraturan baru tersebut termasuk hanya membenarkan lima anggota media daripada setiap organisasi.
Beliau menyifatkan tindakan itu terpaksa dibuat demi keselamatan anggota Parlimen dan mereka tidak perlu menjadi 'juara' dengan cuba membawa perkara itu dalam dewan.
Pandikar Amin berkata demikian apabila Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) bangun mencelah perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (Pindaan) 2008 yang sedang berlangsung untuk meminta Speaker membuat keputusan mengenai larangan itu yang menyebabkan petugas media di Parlimen memboikot sidang media kerajaan mahupun pembangkang yang diadakan di lobi Parlimen.
Keputusan Speaker
Keputusan Pandikar Amin itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 94 bagi menjelaskan bahawa terpulanglah kepada Speaker untuk memberi kebenaran kepada media untuk membuat liputan Parlimen.
"Selama pengalaman saya 26 tahun, tidak ada sesuatu dibuat seperti sekarang ini dengan mengehadkan lima petugas media bagi sesuatu organisasi untuk membuat liputan di Parlimen," katanya.
Menjawab persoalan itu, Pandikar Amin berkata, beliau menghormati pandangan anggota Parlimen berhubung perkara tersebut tetapi menegaskan hanya akan menunggu reaksi daripada pihak media dan bukannya anggota dewan.
"Saya akan tunggu reaksi daripada surat khabar apakah lima orang itu cukup atau tidak... saya tidak berniat untuk mengehadkan angka itu kalau ia mengganggu tugas media... saya rasa isu itu sudah selesai," katanya yang meminta perbahasan rang undang-undang diteruskan.
Mendesak
Sementara itu Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN), Datuk Bung Moktar berkata, beliau cuba beberapa kali untuk mendesak Pandikar Amin menarik balik peraturan tersebut semasa waktu makan tengah hari.
"Sepatutnya tidak perlu sekat kerana ia kebebasan bersama. Untuk bersuara, mana-mana pun boleh bersuara dan saya serta rakan tidak setuju kerana amalan ini (bebas bergerak) telah lama diamalkan dan kita harap akan dapat dipertimbangkan oleh Yang Dipertua," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Pandikar Amin.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 2.20 petang tadi, beliau dan anggota Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz serta lima lagi anggota Parlimen lain mengambil keputusan sendiri untuk membuka tali yang menjadi zon larangan kepada media tanpa sebarang keputusan daripada Pandikar Amin.
"Kalau tutup pun tak dimaklumkan, buka pun tak perlu dimaklumkan. Halangan itu timbul kerana ada beberapa anggota Parlimen yang tidak selesa kerana diserbu media ketika rehat, ke tandas dan sebagainya," kata Bung Moktar selepas membuka penghadang yang membataskan pergerakan media.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan tersebut adalah satu tekanan baru kerajaan bagi melumpuhkan peranan media untuk melaporkan perbahasan isu dan polisi yang berkaitan dengan kepentingan rakyat di Parlimen.
Tindakan ini bukan sahaja tidak menghormati media, tetapi juga rakyat, katanya.
"Percubaan kerajaan untuk menyekat berita daripada sampai kepada rakyat akan menjejaskan kredibiliti kerajaan yang telah pun merosot," katanya dan menambah tindakan ini akan memburukkan lagi kedudukan Malaysia yang kini menduduki tangga ke 141 daripada 195 negara dalam senarai kedudukan kebebasan akhbar yang dibuat oleh Freedom House. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan