HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Jun 2008

Yahya, pemimpin PKR jumpa Anwar mengadu kepimpinan MB Selangor?
Oleh NURUL AIN HUSSAIN


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kini sudah mula bergolak hanya kerana isu kepimpinan dan rebutan jawatan?

Berdasarkan perkembangan hari ini, mStar Online difahamkan sudah mula wujud keretakan dalam sokongan kepada kepimpinan PKR Selangor.

Sejurus selepas kembali daripada menunaikan umrah petang ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui bekas pegawai petugas-petugas Khas Menteri Besar Selangor, Yahya Sahri (gambar) di satu lokasi yang dirahsiakan.

Yahya yang dihubungi lewat petang memberitahu mStar Online, beliau tidak akan menarik balik pendiriannya yang tidak percaya dengan kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Selepas meletakkan jawatan sebagai pegawai petugas khas, saya akan tumpukan jentera parti sahaja.

"Hasil perbincangan saya dengan Anwar petang ini adalah positif," kata beliau sambil menambah, Anwar juga telah mengadakan pertemuan dengan Khalid selepas pertemuan itu.

Yahya yang digantung tugas selama dua bulan meletakkan jawatan melalui suratnya yang telah dikirim melalui faks kepada Khalid semalam.

Sementara itu, di pekarangan pejabat PKR di sini, kira-kira 17 Ketua Bahagian PKR Selangor hadir bagi menyerahkan tuntutan berkaitan rasa tidak puas hati mereka berhubung soal pengagihan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri oleh Khalid.

“Tidak dinafikan bukan hanya masalah pengagihan jawatan yang dipertikaikan, tetapi mereka mahu kebajikan ahli-ahli PKR yang setia dengan parti sejak mula ia ditubuhkan dibela,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr. Badrul Amin Bahron ketika ditemui pemberita.

Badrul yang juga Ketua PKR Bahagian Sabak Bernam memberitahu, selepas pertemuan itu Anwar telah menemui Khalid bagi menyampaikan tuntutan dan hasrat ahli parti peringkat akar umbi.

“Kita cuma mahu hasrat ahli parti yang setia dengan perjuangan dibela... itu sahaja. Berilah mereka peluang untuk memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri daripada memberikan jawatan tersebut kepada golongan profesional semata-mata.”

Tegas Badrul, setiap bahagian telah mencadangkan calon-calon yang dirasakan sesuai untuk jawatan dalam kerajaan negeri.

Malangnya, jelas beliau, hampir 80 peratus senarai calon yang dikemukakan telah ditolak Khalid.

“Perkara tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati kerana Khalid meletakkan syarat hanya golongan profesional dengan kelayakan sekurang-kurangnya diploma dilantik.”

“Ini tidak adil kepada mereka yang tidak mempunyai kelayakan tetapi berjuang atas nama parti sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada tuntutan itu termasuk meminta Khalid meletak jawatan sebagai Ketua Perhubungan PKR Selangor, beliau memberitahu, pihaknya memang ada meminta Khalid meletakkan jawatan itu kerana ia bercanggah dengan jawatan eksekutif sebagai Menteri Besar.

Dalam pada itu, Khalid menegaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bagi pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung siasatan terhadap pegawai kanannya yang didakwa menyalahgunakan kuasa dalam pengagihan kontrak pembuangan sampah di Petaling Jaya.

Beliau berkata, kenyataan itu dikeluarkan berpandukan kepada surat pengarah BPR Selangor kepada beliau bertarikh 11 Jun lepas, di mana BPR menyatakan bahawa siasatan telah selesai dan memberi nasihat berkenaan dengan ketelusan dan tanggungjawab khususnya mengenai hal surat-menyurat serta pengeluaran surat sokongan.

"Untuk itu, melalui surat bertarikh 16 Jun 2008, pejabat Menteri Besar berterima kasih kepada pihak BPR dan menjemput badan itu untuk menempatkan seorang pegawai bagi membuat siasatan lanjut di samping membuat kajian bagaimanakah prosedur pentadbiran dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

"Adalah jelas dakwaan bahawa saya membuat kenyataan bagi pihak BPR adalah tidak benar sama sekali," katanya dalam kenyataan yang difakskan kepada Bernama hari ini.

Khalid berkata demikian bagi menafikan dakwaan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin pada sidang Dewan Rakyat hari ini, yang mendakwa beliau telah membuat kenyataan bagi pihak BPR berkenaan siasatan dakwaan salah guna kuasa pegawai kanan pejabat beliau dalam pengagihan kontrak pembuangan sampah di Petaling Jaya.

Sehubungan itu, Khalid berkata, walaupun siasatan BPR telah dibuat, pihak beliau berasa amat perlu untuk mengkaji semula segala urusan dan komunikasi yang telah dikendalikan oleh pegawai berkenaan dan untuk melakukan kajian terperinci yang adil, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menggantung pegawai terbabit.

Abdul Khalid berkata kajian tetap akan diteruskan bagi memastikan integriti pihaknya tidak tercalar.

"Pihak kami memandang serius tentang isu yang melibatkan ketelusan dan tanggungjawab dan sebab itu pihak kami tidak teragakagak untuk mengambil tindakan terhadap pegawai terbabit walaupun ia bukanlah tindakan popular di peringkat parti," katanya.

Tiada ulasan: