Keluarga ISA diberi bantuan pengangkutan ziarah tahanan di Kamunting
Anis Nazri
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Keluarga tahanan ISA di Selangor bakal mendapat bantuan pengangkutan dari Kuala Lumpur ke Kamunting bagi melawat tahanan ISA, bermula awal bulan depan.
Bantuan tersebut diusahakan kerajaan negeri Selangor, melalui Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kebudayaan Negeri, Rodziah Ismail.
Menurut AJK GMI, Norlaila Othman, yang juga Pengarah Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA, keputusan itu dibuat selepas pihak GMI bermesyuarat bersama Rodziah, di bangunan SUK, Shah Alam, 24 Jun lalu.
Kata Norlaila, bantuan kerajaan Pakatan Rakyat itu memberi satu suntikan semangat kepada GMI untuk meneruskan perjuangan dan mengharapkan negeri-negeri Pakatan Rakyat lain bertindak sama seperti Selangor.
"Bagaimanapun, bagi bantuan kewangan kepada keluarga tahanan ISA di Selangor, ia masih dalam proses. Secara dasarnya, ia telah dipersetujui kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, cuma sedang dalam proses ke arah itu," kata Norlaila.
Dalam pada itu, Norlaila turut merakamkan ucapan penghargaan GMI kepada Adun Rawang, Gan Pei Nei yang memberikan komitmen yang begitu tinggi dalam usaha membantu keluarga tahanan ISA. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan