Pascapilihanraya: Seratus hari dilalui, seribu soalan menyusul
Oleh G.MANIMARAN
PETALING JAYA: "Seratus hari, tapi yang ditinggalkan seribu tanda tanya." Demikian gambaran spontan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.
"Jadi kejutan ini, kalau The Star katakan ia sebagai political tsunami, kita masih lagi seperti selepas tsunami, kita masih diselubungi bekas-bekas runtuhan, kita masih lagi seperti lubang-lubang yang belum ditanam, kemudian kita nampak keadaan merekah dan membelah, kemudian tumbuh penyakit-penyakit baru, orang yang tiada rumah ataupun keluar rumah.
"Jadi maknanya selepas seratus hari kita masih cuba mahu keluar daripada kesan taufan politik (keputusan pilihan raya umum ke-12," kata beliau dalam pertemuan sempena tiga bulan pertama selepas hari pengundian 8 Mac lalu.
Situasi tiga bulan pertama ataupun seratus hari pertama kali ini berbeza berbanding sejarah lima dekad negara disebabkan banyak faktor.
Pertama jelas beliau, kebiasaannya kemenangan Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai foregone conclusion dengan kemenangan kerusi dua pertiga di Parlimen dan kesemua negeri dimenangi kecuali pada 1990 (Kelantan) dan 1999 (Terengganu, tetapi dirampas pada 2004).
"Walaupun pada 1999 ada kejutan, tapi dua pertiga masih dikekalkan. Kejutan itu di kalangan ahli Umno sahaja," tambah pakar sosiologi ini, yang memantau perkembangan politik tanah air sejak lebih dua dekad lalu.
Bagaimanapun kali ini, tegas beliau, kejutan bukan hanya membabitkan parti kerajaan, tetapi juga pembangkang kerana mereka sendiri tidak percaya yang boleh menang begitu besar sehingga menguasai kerajaan lima negeri dan menunjukkan prestasi luar biasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang hanya menawarkan kerusi Parlimen.
Retreat Umno
Ulasan lanjut, jelas beliau, pihak kerajaan persekutuan (BN dan Umno) masih mencari-cari alasan dan punca pukulan tsunami politik "sehingga tiga minggu lalu sudah ada sesi retreat di kalangan pemimpin Umno bertujuan mencari strategi memulihkan parti."
"Jadi bermakna belum selesai soal perpindahan rumah selepas (8 Mac). Saya tak pernah dengar retreat seperti ini dalam sejarah Umno, secara sedar mengadakan satu retreat bermakna banyak isu dalam Umno yang belum selesai.
Macam selepas tsunami banyak lagi rumah yang belum ditegakkan. Rumah yang roboh baru dibina semula dan ia pun hanya untuk perlindungan sementara.
"Jadi maknanya kesementaraan masih dirasakan... kesementaraan itu dalam erti kata macam mana kedudukan kita sekarang, ke mana kita hendak dibawa selepas ini," ujar Shamsul Amri dalam suara kritikal menyenaraikan pelbagai persoalan berkaitan perkembangan semasa politik tanah air.
Oleh itu, kata beliau, soalan-soalan seumpama itu perlu dijawab dengan memberi tumpuan terhadap aspek peralihan kepimpinan masa depan Umno yang pemimpinnya mengepalai BN dan kerajaan persekutuan sejak negara merdeka.
Pengganti Abdullah
"Siapakah selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri dan Presiden Umno), jika Mr. X, selepas Mr X siapa pula. Jadi ini adalah proses mengumpulkan segala macam keraguan dan pertanyaan yang perlu dijawab," jelas beliau.
Ketika berkongsi pandangannya Shamsul Amri membangkitkan kedudukan semasa parti-parti komponen BN.
"Dalam BN, parti-parti komponen seperti sudah ranap sama sekali. MCA tinggal dua, tiga batang kebunnya, Gerakan sudah lumpuh, tak bergerak maknanya cuba mencari ruang di mana hendak bergerak mungkin tulang belakang sudah patah, tak tahulah ini macam selepas tsunami tadi kan. PPP (Parti Progresif Penduduk) sudah diketepi," kata beliau sambil menambah, "sebenarnya saya menggunakan simbolisme ini untuk menggambarkan betapa teruknya kedudukan parti-parti komponen BN."
MIC, menurut beliau, seolah-olah sudah hilang haluan. "Bagaimana runtuhnya kuil, runtuhlah MIC. Begitulah runtuhnya MIC sekarang ini. Bermakna nyaris-nyaris terkubur MIC, tak pernah dalam sejarah MIC berada dalam keadaan ini," katanya.
"Kita tidak nampak ini, tidak merasakan tetapi orang yang terlibat merasakan. Orang Gerakan tanya mengapa saya popular masa lalu tetapi kini saya sudah diketepikan?
Mengapa rakyat tidak mahu memilih saya, mengapa seorang menteri di Kuala Lumpur yang pernah menang dengan 30,000 undi, sekarang kalah dengan perbezaan 20,000 undi? Jadi ini soalan-soalan yang sukar hendak dijawab dengan segera (dalam tempoh seratus hari lalu)," tambah beliau
Jadi bermakna mereka tidak tahu apa yang menyebabkan keadaan yang dialami itu.
"Maknanya kalau seseorang itu (parti-parti politik BN dan calon-calonnya) kena pukul, tidak tahu dari mana datangnya pukulan itu," katanya.
Nasib Pakatan Rakyat
Jika itu nasib dialami BN, adakah Pakatan Rakyat bebas daripada situasi "seratus hari, seribu tanda tanya"?
Jawapan profesor ini ialah: "Tidak."
"Pakatan Rakyat masih lagi meraba-raba mencari tapak," kata beliau. Mengapa digambarkan sedemikian?
"(Pakatan Rakyat) mempunyai ramai orang, tetapi tidak tahu di mana hendak tempatkan mereka. Bermakna bilangannya ramai, tetapi apakah mereka semua boleh menjadi pemimpin?
"Bermakna jika Pakatan Rakyat hendak membentuk Kabinet, dalam Pakatan ini siapa yang berkualiti untuk menjadi pemimpin. Mungkin satu dua tiga empat orang, tetapi Kabinet memerlukan (sekurang-kurangnya) 20 orang. Siapa yang mereka boleh ambil untuk menganggotai Kabinet? Ia tidak boleh meletakkan orang begitu sahaja," soal beliau tentang keupayaan sebenar Pakatan Rakyat untuk memerintah kerajaan persekutuan, yang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa akan dibentuk menjelang 16 September.
Oleh itu, kata beliau, keadaan tersebut juga boleh menimbulkan persoalan tambahan.
Keadaan itu terjadi sebab Pakatan Rakyat (nama diberikan selepas kemenangan 8 Mac) menerima banyak calon yang menawarkan diri untuk bertanding atau kumpulan walk-in candidate, bukannya calon-calon yang difikirkan sesuai dan ditapis menggunakan kriteria tertentu.
"Ini termasuk calon yang tidak boleh angkat sumpah, kina ikut latihan (bahasa dan angkat sumpah). Apa maksudnya?"
Komponen pengundi
Di sebalik kedua-dua komponen itu, Shamsul Amri menambah: "Yang penting selepas 100 hari, yang jelas sudah wujud satu kumpulan pengundi yang boleh bersuara."
"Itu yang jelas bagi saya... kumpulan pengundi yang bersuara, yang akan terus bersuara, tidak boleh dianggap tidak berkuasa dan tidak boleh membuat keputusan," katanya.
Jelas beliau, jika pada masa lalu parti kerajaan hanya melawan pembangkang dengan melupakan komponen pengundi ataupun pemilih, kini keadaan sudah berubah.
"Mereka (kumpulan pengundi) sudah disosialisasikan dalam satu bentuk penyuaraan, bukan hanya melalui peti undi, tetapi melalui demonstrasi jalanan, melalui protes dalam internet (media baru).
"Jadi seolah-olah sudah wujud satu komuniti pengundi yang parti pembangkang, dan parti kerajaan terpaksa memujuk mereka dan diberi keutamaan lebih jelas dengan mempunyai strategi lebih jelas," katanya.
Malah beliau juga menegaskan, BN dan Pakatan Rakyat juga menghadapi masalah penyesuaian sejak pilihan raya umum ke-12.
"Bagaimana hendak mengadaptasikan dalam situasi baru. Macam mana anda hendak menyesuaikan diri dalam keadaan ini," ujar beliau.
Pembangkang masih mencari tapak
Justeru, kata Shamsul Amri, beliau juga melihat pihak pembangkang masih lagi mencari tapak.
"Kebanyakan mereka (wakil rakyat pembangkang) tidak berpengalaman... rupa-rupanya mereka sudah tahu sekarang bahawa mengkritik satu hal, tetapi melaksanakan sesuatu tindakan satu hal dan merealisasikan kritikan itu dalam bentuk tindakan pun bukan satu perkara mudah yang disangkakan."
Dengan menekankan bahawa kekalahan BN juga berpunca daripada kegagalannya memberi tumpuan kepada golongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti elektronik, beliau menambah:
"Umno dan BN hanya bersedia untuk menangani cabaran pembangkang dan tidak bersedia untuk menangani cabaran dua kumpulan yang lain itu (NGO dan komuniti elektronik).
Kita tidak menjawab NGO, bagi saya mudah sahaja. Malangnya, dalam kerajaan sendiri pun ada kepembangkangan."
"Itu sebabnya bila kena pukul tsunami, mereka tidak tahu yang dua ini (NGO dan komuniti elektronik) juga datang serentak," katanya.
Kepembangkangan
Justeru, tegas beliau, sepanjang seratus hari yang lalu, kumpulan NGO yang sama mengambil tindakan bersifat kepembangkangan.
"Abdullah hendak jaga hati, hendak pujuk, yang dalam (kumpulan dalaman BN dan Umno) hendak dipujuk dan kumpulan luar pun hendak dipujuk. Macam mana (hendak dilakukan)?" katanya sambil menarik perhatian bahawa Perdana Menteri berada dalam dilema untuk berbincang dan berunding (dengan semua pihak luaran)."
Shamsul juga berkongsi pandangan mengenai kewujudan faktor baru iaitu raja-raja dalam politik Malaysia.
Ia menarik perhatian sebelum dan selepas pilihan raya khususnya membabitkan Perlis, Terengganu dan Johor yang secara tidak langsung mencampuri soal pelantikan Menteri Besar. Malah, pihak Istana juga terlibat dalam perasmian perhimpunan berkaitan orang Melayu selepas pilihan raya, membabitkan Kelantan dan Johor. Perak sudah pun berbuat demikian sejak lima tahun lalu dengan menyuarakan isu-isu berkaitan dengan perundangan dan kehakiman.
"Jadi apa maksud? Maksudnya ada tentangan pelbagai hala (kepada kepimpinan Abdullah)," katanya.
Pun begitu beliau mengakui bahawa politik Malaysia masih stabil. Begitu juga rakyatnya. Bagaimanapun yang tidak stabil cuma ahli-ahli politiknya.
"Tetapi yang ini (ahli politik) tidak stabil, raja pukul, parti pembangkang pukul, Anwar mendakwa ada yang hendak crossover.
Strategi perang psikologi Anwar
"Bagi saya Anwar ini guna strategi perang psikologi," kata beliau sambil menambah kemungkinan Anwar boleh menjadi Perdana Menteri dan mungkin juga tidak.
"Kalau hendak menjadi Perdana Menteri, beliau memerlukan perkenan diraja. Raja (Yang di-Pertuan Agong) perlu memberi perkenan. Kalau raja sokong, malah raja juga boleh tidak sokong," katanya.
Mungkin pilihan raya umum tergempar?
"Ya mungkin boleh diadakan pilihan raya," kata beliau dan menambah, "ia boleh digunakan sebagai ukuran sebenar sokongan pengundi."
Katanya, pengundi-pengundi akan berfikir semula kerana terdapat juga kekesalan di kalangan rakyat.
"Ada juga menyatakan rasa kesal sebab mereka mengundi parti pembangkang bukan kerana parti pembangkang, tapi kerana dia membenci parti kerajaan," jelasnya.
Andaian beliau ialah jika diadakan pilihan raya umum tergempar kemungkinan ia akan mengembalikan kerajaan negeri yang lama ataupun secara total membawa kerajaan baru, sekali gus boleh mengatasi isu dakwaan melompat parti.
Pakatan Rakyat juga tidak stabil, kata beliau dan menambah, "kena buat perundingan supaya Anwar masuk balik (Umno, BN)."
Barisan pakatan baru?
Mengambil kira situasi semasa, kata beliau, semua pihak berusaha mencari jalan keluar, bukannya ke arah perpecahan teruk.
"Anwar sendiri tidak pasti dengan orang-orang dia, kesatuan dalam Pakatan Rakyat tidak pasti. Betulkah DAP ini sebahagian daripada Pakatan ini? BN didaftar sebagai badan, Pakatan belum didaftar.
"Kalau raja kata kena ada parti baru macam BN, sebab ini bukan parti yang didaftar.
Kita masih ingat Perlis memilih seorang sebagai Menteri Besar daripada kalangan majoriti, dalam parti. itu Umno sendiri," katanya.
"Pakatan bukan satu barisan, pakatan juga boleh jadi konspirasi, komplot dalam pakatan, konspirasi rakyat," kata beliau sambil menambah bahawa isu dominasi Melayu dalam Pakatan Rakyat juga dijadikan satu perbahasan semasa.
"Ia akan dipersoalkan oleh ramai orang. Bagaimana (untuk dilaksanakan), belum terjawab. Dalam pakatan, dua pertiga bukan Melayu. Ini bukan masalah calon, ini masalah kemenangan. Kemenangan itu yang penting, tidak ada keseimbangan (wakil yang menang)," katanya.
Mengenai penyelesaian, beliau berkata: "Yang terbaik ialah (dibentuk) pakatan. Negara ini bergerak disebabkan pakatan, apa juga pakatan."
Nama yang disyorkan beliau - Barisan Kebangsaan ataupun Barisan Bangsa Malaysia.
"Umno masih boleh kekal, di Sabah pernah ada tiga ketua menteri (secara giliran), mengapa tidak di sini, giliran setiap dua tahun. Mengapa tidak? Siapa kata ini tidak boleh dilakukan?
"Kalau semua orang boleh merasakan (kedudukan), sudah pasti tiada kepembangkangan," katanya.
Bagaimana dengan seratus akan datang? Banyak yang perlu diikuti!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan