HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Jun 2008

229 terkorban taufan di Filipina
Utusan


ILOILO – Sekurang-kurangnya 229 orang disahkan terkorban dan puluhan lagi hilang selepas Taufan Fengshen melanda tengah Filipina.

Pentadbir wilayah, Manuel Mejorada hari ini berkata, kebanyakan mangsa mati lemas dalam banjir yang berlaku apabila taufan itu melanda wilayah Iloilo dan lainnya dalam kejadian tanah runtuh.

Mayat mereka ditemui apabila paras air surut.

Wilayah tersebut teruk dibadai Fengshen semalam apabila air banjir naik dengan pantas sehingga memaksa ratusan penduduk menyelamatkan diri ke atas bumbung rumah dan di atas pokok.

Banjir di Iloilo surut hari ini, membolehkan kenderaan memasuki kawasan yang sebelum ini ditenggelami air, kata Mejorada.

Lebih 30,000 orang terpaksa dipindahkan, manakala bekalan elektrik terputus di bandar ini dan kawasan sekitarnya.

Ibu negara, Manila dan kawasan sekitarnya turut dibadai taufan itu awal hari ini, menyebabkan bekalan elektrik dan talian telefon terputus di banyak kawasan ibu kota dan penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan.

Belum ada kematian atau kerosakan dilaporkan berlaku di Manila.

Taufan Fengshen yang membawa angin sederas 120 kilometer sejam dijangka bergerak pada kelajuan 15 kilometer sejam menghala ke barat laut.

Tiada ulasan: