HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Jun 2008

Beras ST15 naik harga
Oleh FAIZAL NAZARUDDIN dan AW ENG YING


KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menaikkan harga beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) bagi menarik minat pemborong untuk menjual bekalan itu di pasaran.

Sebelum ini, timbul rungutan di kalangan pemborong dan pengeluar bahawa harga siling beras ST15 yang dijual ketika ini terlalu rendah iaitu RM1.80 sekilogram dan ia tidak membawa keuntungan kepada mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, cadangan menaikkan harga itu dibangkitkan oleh pemborong supaya mereka kembali membekalkan beras ST15 ke pasaran.

Ketika ini, ramai pemborong enggan mengambil beras tersebut walaupun stoknya dikatakan masih banyak kerana mendakwa keuntungannya tidak 'berbaloi' berbanding menjual beras import yang lebih mahal harganya.

"Realitinya permintaan pengguna terhadap beras ST15 kini adalah 50 peratus berbanding 25 peratus yang disasarkan sebelum ini dan ekoran harga yang tidak kompetitif, mereka menghadapi masalah untuk membekalkannya.

"Namun isu ini masih di peringkat rundingan dan sebarang keputusan akan dimaklumkan nanti," katanya pada sidang media, selepas merasmikan Seminar Usahawan Industri Asas Tani di Hotel Regency di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! Isnin lalu yang menyatakan hampir semua pasar raya dan kedai runcit di Lembah Klang masih menghadapi masalah ketiadaan beras ST15.

Pada hal minggu lalu, kerajaan telah mengarahkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) supaya mengeluarkan beras berkenaan sehingga 180,000 metrik tan.

Peniaga runcit serta pasar raya besar pula mendakwa pemborong sengaja tidak menghantar bekalan tersebut kerana mendakwa mereka tidak mendapat keuntungan sewajarnya dengan menjual beras itu.

Tiada ulasan: