HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Jun 2008

Rebat tunai fasa kedua dilaksana 1 Julai


KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan persendirian, khususnya yang memperbaharui cukai jalan mulai 1 Jun lepas, boleh menuntut rebat tunai bahan api dalam fasa kedua pengagihan rebat tunai Pos Malaysia Berhad (PMB) yang dilaksanakan mulai 1 Julai ini.

Ketua Operasi PosNiaga, Atikah Ramli berkata, kesemua pemilik yang layak mendapatkan rebat itu mempunyai pilihan sama ada datang sendiri ke pejabat pos atau melantik wakil bagi pihak mereka.

Katanya, pemilik kenderaan yang mahu menuntut sendiri rebat berkenaan perlu mengisi borang Pos Akaun 1 dan membawa kad pengenalan atau kad polis/tentera bersama borang tuntutan untuk pengesahan di pejabat pos.

Bagi pemilik yang ingin melantik wakil, mereka dikehendaki mengisi maklumat pemilik kenderaan termasuk nombor telefon dengan jelas pada borang Pos Akaun 1.

"Selain membawa bersama kad pengenalan atau kad polis/tentera, mereka dikehendaki mengoyak bahagian bawah borang (Bahagian C) sebagai rujukan sebelum memasukkan ke dalam kotak yang disediakan di pejabat pos," katanya kepada pemberita pada sesi taklimat mengenai pembayaran rebat tunai kenderaan persendirian di sini hari ini.

Subsidi tunai RM625 diberikan kepada pemilik kenderaan sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip sehingga 2,500cc; dan RM150 kepada pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc yang memperharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dari tarikh 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.

Pada Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pembayaran rebat tunai subsidi petrol dan diesel kini diperluas kepada pemilik kenderaan persendirian dengan enjin berkapasiti sehingga 3,000cc di Sabah dan Sarawak.

Selain menggunakan satu jenis bahan bakar sama ada petrol atau diesel, rebat tunai adalah terhad kepada lima kenderaan sahaja mengikut spesifikasi enjin.

Menurut Atikah, pemilik yang tidak layak untuk menerima rebat tunai itu akan dihubungi PMB manakala kiriman wang akan dihantar kepada pemilik yang layak dalam tempoh tujuh hari bekerja.

Mengulas mengenai pemilik kenderaan yang menetap di luar negara, beliau memberitahu, mereka perlu melalui prosedur sama.

"Bagi pemilik (kenderaan) di luar negara, mereka perlu memiliki akaun bank di dalam negara bagi membolehkan rebet tersebut dipindah masuk ke dalam akaun. PMB menerima semua jenis bank untuk tujuan ini," katanya.

Sementara itu, semasa berucap Pemangku Pengarah Urusan PMb, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, pengagihan fasa pertama yang bermula pada 12 Jun lepas berjalan lancar.

"Sehingga semalam, sebanyak RM528.3 juta rebet tunai telah diagihkan kepada 1.2 juta pemilik, dan jumlah ini adalah 68 peratus daripada jumlah pemilik kenderaan persendirian yang layak menerima rebet tunai bagi fasa pertama," katanya.

Kira-kira 700,000 pemilik kenderaan persendirian fasa pertama masih belum menuntut rebat tunai mereka, kata beliau. BERNAMA

Tiada ulasan: