HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Jun 2008

MCA Selangor minta kadar tol dikurangkan atau dihapuskan


SHAH ALAM — MCA Selangor hari ini memohon kerajaan supaya mengurangkan atau menghapuskan bayaran tol di lebuh raya di Selangor bagi meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi MCA Selangor Datuk Tang See Hang berkata penghapusan atau pengurangan tol dapat dilaksanakan jika kerajaan membeli balik syarikat konsesi lebuh raya.

Untuk tujuan itu, kerajaan boleh menggunakan pembayaran subsidi untuk petrol yang telah dijimatkan dan keuntungan yang diraih oleh Petronas hasil daripada peningkatan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa yang mencecah US$142 setong semalam, katanya.

Oleh kerana Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memegang 74.05 peratus ekuiti dalam Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), MCA Selangor mencadangkan kerajaan persekutuan membeli PLUS dan seterusnya memansuhkan atau meminimumkan pembayaran tol, katanya kepada pemberita di sini.

Tang berkata:” Jika kerajaan berhasrat untuk membeli PLUS, ia cuma perlu membeli sebanyak 1.3 bilion saham jika mengikut harga pasaran pada 20 Jun lepas iaitu RM2.82 sesaham, kerajaan hanya perlu menggunakan wang sebanyak RM3.67 bilion untuk memiliki syarikat PLUS sepenuhnya.”

Katanya Selangor merupakan negeri yang mempunyai banyak tol di mana daripada 28 syarikat konsesi lebuhraya yang beroperasi di Malaysia, 15 daripadanya mengendalikan lebuhraya di Selangor manakala kadar tol lebuhraya PLUS perlu dinaikkan setiap tiga tahun dan kerajaan terpaksa membayar pampasan jika kadar tol tidak dinaikan.

Kontrak ini dilihat sebagai sesuatu yang menganiaya rakyat dan adalah tidak adil dan tidak munasabah kerana jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya PLUS semakin meningkat setiap tahun, kata Tang.

“Impak rantaian yang disebabkan oleh kenaikan harga petrol telah menyebabkan kenaikan kos pengangkutan, elektrik dan bahan yang akhirnya menyebabkan harga barangan naik (inflasi) secara keseluruhannya. MCA telah menerima banyak aduan dan rungutan daripada rakyat...ini menyebabkan rakyat merasa kecewa dan marah terhadap kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata MCA Selangor akan menghantar memorandum kepada Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohd Zin Mohamad pada 7 Julai ini berhubung pengurangan dan penghapusan bayaran tol di lebuh raya dalam negeri Selangor.— BERNAMA

Tiada ulasan: