HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Jun 2008

Dewan kecoh, Khalid Samad selar Menteri Penerangan
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Dewan Rakyat kecoh hampir lima minit berikutan berdebatan antara Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dengan Dato' Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) selain Gobalakrisnan (KeADILan-Padang Serai) selepas Khalid mempertikai kenyataan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shaberry Cheek.

Khalid yang bangun bagi menyuarakan Peraturan Mesyuarat 36 (10a) mendakwa bahawa kenyataan Shaberry yang disiarkan dalam akhbar satu penipuan.

Kenyataan yang dimaksudkan itu ialah tuduhan Shaberry terhadap Khalid yang dikatakan derhaka atau khianat dalam mencadangkan agar adanya tender terbuka terhadap telaga minyak.

Kenyataan itu kata Khalid seolah-olah menyifatkannya mengkhianati amanah negara dan mahu menyerahkan hak Malaysia kepada syarikat minyak asing.

"Ini tipuisme, keliruisme yang diperjuang BN.Cadangan saya supaya hanya untuk buktikan Petronas supaya sedia memberi subsidi kepada rakyat dan tak perlu rakyat tanggung beban kenaikan harga minyak," ujarnya.

Beliau juga berkata bahawa Menteri Penerangan tidak faham apa yang dimaksudkan dengan cadangannya itu semalam.

Sejurus Khalid bercakap mengenai kenyataan Shaberry itu, Tajuddin bingkas bangun menyatakan ianya buang masa dan beliau turut memekik dengan suara yang lantang mengganggu ucapan Khalid.

Tajuddin menghamburkan beberapa perkataan yang akhirnya menyebabkan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat bangun dan mengecam kenyataan Pasir Salak.

Ketika itu juga Gobalakrishnan bangun menyatakan kecaman terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang disifatkan tidak faham isu yang dibincangkan.

Malah berlaku tuduh menuduh antara Gobalakrisnan dengan Tajuddin dengan perkataan yang kesat antaranya 'awak minum berapa banyak todi'(mabuk), ahli Parlimen kurang ajar dan 'awak ni gangster'.

Akhirnya Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato' Wan Junaidi Tunku Jaafar meminta ke semua ahli yang bertengkar agar menghormati dewan dan duduk. - mks._

Tiada ulasan: