HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Jun 2008

Umno: Ezam tak boleh bertanding
Abdul Rahim Sabri


Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini menerima keahlian bekas pemimpin kanan PKR Mohamad Ezam Mohd Nor tetapi beliau tidak dibenarkan bertanding dalam pemilihan kali ini.

Keputusan majlis itu dimaklumkan oleh setiausaha agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor lewat petang ini.

Bekas ketua Angkatan Muda PKR itu menyerahkan permohonan menyertai Umno kepada Abdullah pada 28 Mei lalu.

Tengku Adnan juga berkata mesyuarat MT Umno juga menerima permohonan bekas ketua bahagian PKR Permatang Pauh, Anuar Shaari dan bekas naib presiden PKR Saidatul Badru Said Keruak.

Mesyuarat MT hari ini, yang diadakan di ibu pejabat Umno, juga mengesahkan bahawa penggantungan keahlian bekas naib presiden Umno, Tan Sri Isa Samad telah tamat.

Beliau digantung keahliannya sejak tahun 2005 hingga 23 Jun 2008 selepas Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau bersalah terhadap tuduhan politik wang ketika bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno pada tahun 2004.

Reaksi Ezam

Sementara itu, Mohamad Ezam ketika dihubungi Malaysiakini, mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada MT Umno kerana menerima beliau kembali semula ke dalam Umno.

Katanya, beliau akan menumpukan usaha pembaharuan yang telah dimulakan oleh presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Ezam lagi, beliau juga akan menumpu kepada usaha memberi penjelasan mengenai ancaman politik baru Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya, telah merosakkan dan bercanggah dengan prinsip dan asas-asas pejuang bangsa.

Katanya, beliau juga akan meneruskan jelajahnya ke seluruh negara yang menurutnya sudah bermula dan akan diteruskan dalam bulan Julai dan Ogos ini.

Ditanya mengenai keputusan MT yang tidak membenarkan beliau bertanding dalam pemilihan parti kali ini, Ezam berkata beliau memang tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, naib presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Mohd Isa layak bertanding jika beliau membayar yuran tahunannya hingga tarikh tutup 31 Disember 2007.

Jika tidak berbuat demikian, katanya, Mohd Isa tidak layak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti Disember ini.

Tiada ulasan: