HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Jun 2008

Mufti tegur pemimpin membazir dan salah guna harta negara
Bashir Ishak


KANGAR (Hrkh) - Mufti kerajaan negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menegur sikap golongan yang membazirkan harta negara sehingga menyebabkan kesusahan terpaksa ditanggung oleh rakyat bawahan.

"Negeri ini barangkali akan menghadapi pilihan rya kecil tak lama lagi, janganlah sekali lagi kita jadi tengelam dalam hal ini. Ambillah pengajaran wahai orang-orang politik.

"Sesungguhnya ketakburan, kesombongan dan penyalahgunaan kuasa akhirnya akan menimbulkan kebencian rakyat dan akhirnya akan menimbulkan keresahan yang berpanjangan," katanya ketika berkhutbah di Masjid Alwi dekat sini tengah hari tadi.

Menyentuh tentang bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat berikutan kenaikan harga minyak, beliau menegur tentang pembaziran dan penyalahgunaan harta negara memandangkan negara ini adalah sebuah negara yang kaya dengan hasilnya.

"Hari ini rakyat semua terpaksa menanggung kesusahan akibat kenaikan harga minyak dunia dan di negara ini pada hal negara ini adalah sebuah negara yang kaya dan negara pengeluar minyak.

"Tetapi hasil pemborosan dan pembaziran serta salah guna harta negara, maka negara yang kaya menjadi susah dan yang susah itu bukan sahaja mereka yang memegang kuasa, dukacitanya ianya membabitkan rakyat berbagai peringkat.

"Tidak hairanlah bila Allah menyamakan pembazir ini dengan saudara syaitan. Maka syaitan bersama orang yang membazirkan harta negara sehingga menyebabkan kesusahan ditanggung orang dibawah.

"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan," katanya memetik ayat 27 dari Surah Al-Isra'.

Selain itu dalam khutbahya beliau terus menggesa agar pemimpin-pemimpin politik umat Islam di negara ini duduk semeja berbincang tentang kepentingan dan masa depan umat Islam di dalam negara ini melebihi kepentingan politik masing-masing.

"Dalam banyak hal, orang-orang politik di negara ini lebih memikirkan masa depan politiknya lebih daripada masa depan umat Islam. Sebahagian mereka telah mewakafkan sebahagian hidupnya untuk politik tanpa memikirkan benar ataupun salah. Sehingga meminggirkan prinsip-prinsip, ajaran Allah s.w.t dalam al-Quran dan as-Sunnah.

"Kita tak suruh mereka bubarkan parti dan leburkan cita-ciata perjuangan mereka jika benar, tapi ada perkara-perkara tentang Islam yang tak boleh ditinggalkan. Malangnya ada ahli politik yang lebih pentingkan parti dan survival politiknya daripada masa depan umat Islam," kata beliau.

Menurutnya, pemimpin politik umat Islam di negara ini perlu duduk berbincang agar memastikan segala perbezaan pendapat, perbalahan dan pergeseran ini tidak akan merosakkan masa depan umat Islam dan jika dibiarkan nanti pihak lain akan mengambil kesempatan.

"Tak bolehkah mereka duduk berbincang tentang 30 atau 40 perkara dan jika hanya 5 atau 10 perkara sahaja yang dipersetujui, itu sangatlah baik.

"Pilihan raya dah berlalu dan sudah menunaikan hasrat rakyat dengan golongan yang sombong dan takabur telah dihukum. Tetapi manusia tak akan hidup dalam proses hukuman semata-mata, tapi mesti kepada proses perubahan dan perubahan ini memerlukan kekuatan umat," serunya lagi. - mns _

Tiada ulasan: