HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Jun 2008

Pemuda PAS kecewa wang derma masuk 'poket' PKR
Oleh Utusan


Shah Alam : Dewan Pemuda Pas Selangor kecewa dengan tindakan penganjur sambutan 100 hari pemerintahan kerajaan campuran di negeri ini yang memasukkan wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk program itu ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketuanya, Sallehen Mukhyi khuatir perkara seperti itu mungkin boleh berlaku lagi pada masa akan datang melibatkan nilai wang yang lebih besar.

Justeru, beliau mendesak pucuk pimpinan negeri yang diterajui PKR, Pas dan DAP menubuhkan Majlis Perundingan Pakatan Rakyat bagi memastikan kesilapan yang diakui sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu tidak berulang lagi.

“Saya fikir benda-benda macam ini berlaku disebabkan tidak ada satu pakatan atau jawatankuasa di peringkat parti, yang ada cuma perbincangan peringkat kerajaan negeri.

“Disebabkan itulah berlaku kebocoran seperti ini tanpa pengetahuan. Selagi tidak ada jawatankuasa peringkat parti, selagi itu tindakan yang membelakangkan semangat pakatan pembangkang akan berlaku, masing-masing ambil tindakan sendiri.

“Kebocoran ini bukan hanya akan menguntungkan pihak lain termasuk Barisan Nasional (BN) yang akan mencari isu untuk didedahkan, tetapi bakal mengundang persoalan di kalangan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Khalid semalam yang mengakui wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor dimasukkan ke akaun PKR dan bukan kepada kerajaan negeri seperti sepatutnya.

Perbuatan itu dipercayai menimbulkan rasa kurang senang pengerusi penganjur sambutan itu, Datuk Dr. Hassan Ali yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor.

Perkara itu terbongkar selepas bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohamad Ezam Mohd. Nor mendedahkan wang sumbangan tersebut dimasukkan ke dalam akaun PKR sedangkan surat yang dikeluarkan kepada syarikat swasta untuk memohon sumbangan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor.

Sambutan 100 hari kerajaan campuran pembangkang mentadbir Selangor diadakan di Stadium Shah Alam di sini Jumaat lalu yang dihadiri para pemimpin kanan ketiga-tiga parti.

Sementara itu, Ketua Pembangkang di DUN Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meminta polis menyiasat Abdul Khalid di bawah kes pecah amanah jenayah (CBT).

“Siasatan itu perlu dilakukan kerana tindakan Abdul Khalid itu tidak sepatutnya berlaku kerana sambutan berkenaan merupakan acara yang dianjurkan oleh kerajaan negeri yang memberikan peruntukan penganjuran sebanyak RM200,000.

“Tindakan mengutip sumbangan untuk akaun PKR seolah-olah menunjukkan parti itu cuba mengambil kesempatan daripada sambutan tersebut bagi mendapatkan sumber kewangan,” katanya.

Tiada ulasan: