HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Jun 2008

Sistem dua pam bezakan harga petrol rakyat asing dan tempatan


KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan cadangan sistem dua pam di stesen minyak di kawasan sempadan bagi memastikan warga asing tidak membeli minyak dengan kadar subsidi seperti yang dinikmati rakyat tempatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, berdasarkan sistem itu, satu pam akan dikhaskan untuk pembelian oleh rakyat tempatan dengan harga pada kadar subsidi dan satu pam lagi untuk rakyat asing, di mana petrol akan dijual berdasarkan harga pasaran semasa.

"Ikut sistem ini, ada dua kebaikan iaitu rakyat asing akan membayar harga petrol berdasarkan harga pasaran dan rakyat Malaysia akan tahu harga pasaran petrol yang sebenarnya," kata Najib.

Cadangan itu berdasarkan saranan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat khas mengenai penstrukturan semula subsidi kepada anggota Parlimen dan Senator Barisan Nasional di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini, hari ini.

Menjelaskan perkara itu, Shahrir berkata, perkara itu dijangka dapat dilaksanakan secepat mungkin berdasarkan reaksi positif pengusaha stesen minyak yang bersetuju menguruskan perubahan kepada sistem dua pam itu.

Katanya, pengusaha kira-kira 500 buah stesen minyak dalam lingkungan 30 hingga 50 kilometer radius dari kawasan sempadan bersetuju membuat perubahan itu.

Ditanya apakah mekanisme yang akan digunakan bagi membezakan pembelian daripada rakyat asing mahupun warga tempatan, Shahrir berkata kawalan akan dilakukan oleh pengusaha stesen minyak termasuk membezakannya berdasarkan plat nombor kenderaan.

Sementara itu, Shahrir ketika ditanya mengenai cadangan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) untuk menutup operasi stesen minyak di seluruh negara selama lapan jam pada 26 Jun ini, berkata beliau yakin langkah itu tidak akan dilaksanakan.

"Saya percaya mereka tidak akan mogok... saya tidak fikir ini keputusan persatuan. Saya juga telah berjumpa pihak persatuan pada petang Khamis lepas bagi membincangkan tuntutan mereka dan berjanji membawa tuntutan mereka kepada pihak kerajaan untuk penyelesaian," katanya.

Jumaat lepas, Pemangku Presiden PDAM Mej (B) Abdul Wahid Bidin mengumumkan 3,500 pengusaha stesen minyak di seluruh negara merancang menutup operasi selama lapan jam pada 26 Jun ini dan menolak penggunaan kad kredit jika kerajaan tidak menaikkan komisen penjualan minyak.

PDAM menuntut persetujuan kerajaan untuk menaikkan komisen daripada tiga peratus kepada enam peratus.

Ditanya sama ada beliau berpendapat tuntutan yang dibuat itu wajar, Shahrir berkata apa yang diminta itu ada kewajarannya tetapi perkara itu akan diputuskan oleh Kementerian Kewangan. BERNAMA

Tiada ulasan: