HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Jun 2008

'Melencong' ke seberang - Guna kereta kerajaan untuk beli-belah di negara jiran
Oleh ZAID MOHD. NOOR


PADANG BESAR (Selatan Thailand) - Bukan untuk kegunaan rasmi dalam negeri tetapi sebaliknya digunakan untuk melancong ke negara jiran menggunakan kenderaan kerajaan.

Itulah yang dilakukan oleh segelintir kakitangan kerajaan termasuk pegawai kanan bagi menjimatkan perbelanjaan daripada memandu kenderaan sendiri ekoran kenaikan harga petrol dan diesel 5 Jun lalu.

Mereka yang menyalahgunakan kenderaan kerajaan itu dipercayai bertugas di Perlis dan Kedah memasuki negara jiran pada waktu petang dan pulang semula sebelum pintu pagar sempadan seperti di Padang Besar, Perlis dan Bukit Kayu Hitam, Kedah ditutup.

Mereka dipercayai melancong ke wilayah selatan negara jiran itu untuk membeli-belah selain berhibur di pusat hiburan yang banyak terdapat di pekan tersebut.

Malah Kosmo! difahamkan terdapat kalangan kakitangan kerajaan yang bertugas di negeri-negeri sempadan Malaysia-Thailand yang lain seperti Perak dan Kelantan juga menyalahgunakan kenderaan kerajaan bagi memasuki negara jiran itu.

Jurucakap Persatuan Pengguna Negeri Perlis berkata, pihaknya sering melihat kenderaan kerajaan memasuki negara jiran menerusi pintu sempadan di Padang Besar, Perlis.

Katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab kakitangan kerajaan itu amat dikesali terutamanya selepas kenaikan harga petrol dan diesel.

"Tindakan mereka amat memalukan sedangkan kerajaan menyarankan rakyat berjimat-cermat selepas kenaikkan bahan api itu.

"Ada juga yang memasuki negara jiran ini pada waktu bekerja," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri, Dr. Chua Hong Teck pula mendakwa pihaknya belum menerima aduan mengenai penyalahgunaan kenderaan kerajaan oleh kakitangan kerajaan yang bertugas di negeri-negeri bersempadan 'melancong' ke Thailand.

Bagaimanapun menurutnya, beliau mengalu-alukan orang awam mengemukakan aduan sekiranya terlihat kakitangan kerajaan menggunakan kenderaan kerajaan memasuki negara tersebut tanpa tugas rasmi.

Seorang peniaga, Alias Kadir, 35, memberitahu, penggunaan kenderaan kerajaan untuk memasuki negara jiran itu telah lama berlaku di pintu sempadan di Padang Besar, Perlis.

"Kami sudah biasa nampak sebelum ini tetapi jumlah kenderaan kerajaan semakin bertambah melepasi kawasan sempadan sekarang ini.

"Ada yang memasuki pekan seberang ini secara berkumpulan antara dua hingga lima orang menggunakan satu kenderaan kerajaan," katanya.

Tiada ulasan: