HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Jun 2008

Mufti Perlis sambut baik saranan Nik Aziz
Oleh ZIEMAN


KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyambut baik saranan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat agar beliau memasuki parti politik jika ingin melaksanakan kebaikan serta mencegah kemungkaran.

"Saya ucapkan terima kasih di atas pandangan Dato' Nik Aziz. Saya lihatnya dari sudut positif cuma kedudukan saya sebagai Mufti, rasanya tidak sesuai. Lagipun saya belum bersedia," kata Dr Asri.

Menurut Nik Aziz, seseorang yang ingin melaksanakan Islam hendaklah memiliki kuasa yakni kerajaan sebagai platform bagi memastikan Islam itu diterjemahkan ke dalam kehidupan.

Katanya jika kita mahu melihat Islam berdaulat, maka hendaklah memiliki kerajaan yakni ianya melibatkan parti.

Nik Aziz membuat saranan pada Dr Asri dalam satu sidang media perasmian Pusat Gadaian Islam Ar-Rahn di cawangan Jalan Raja Laut Kuala Lumpur hari ini.

Jelas Nik Aziz lagi, sekiranya mana-mana pihak hendak menganjurkan sesuatu tetapi tidak memiliki sebarang kuasa, ianya tidak berguna atau tidak berkesan seumpama omongan kosong.

"Harapnya Mufti Perlis dapat mempertimbangkan untuk memasuki mana-mana parti walaupun pegawai kerajaan di Malaysia ini tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dengan mana-mana parti," kata Nik Aziz ketika diminta mengulas kenyataan Dr Asri yang tidak mahu memasuki mana-mana parti semalam.

Dr Asri pula berpendapat, dia sudahpun memasuki daerah politik.

"Sebenarnya saya sudahpun masuk daerah atau sempadan politik bila saya memberi pandangan tentang isu-isu politik. Tapi saya belum dan tidak menyertai mana-mana politik. Begitu juga halnya bila saya menyentuh hal berkaitan seni, tidak semestinya saya menjadi artis," jelasnya.

"Bukan semua orang ada kemampuan jadi ahli politik seperti saya. Mungkin selepas ini saya akan beri pertimbangkan dan beri perhatian serius saranan Nik Aziz," katanya.

Namun kata Dr Asri lagi, apa yang disuarakan oleh Nik Aziz itu pada sudut-sudut tertentu ada benarnya.

"Pandangannya betul tapi masanya bukan sekarang kerana saya belum ada cukup kemampuan. Saya perlukan kekuatan politik yang 'luar biasa' bukan sekadar jadi orang pinggiran. Untuk jadi 'gergasi politik' saya perlukan cukup peralatan yang mana saya belum berkemampuan," katanya.

Walaubagaimanapun, kata Dr Asri, tidak mustahil hatinya akan berubah satu hari nanti.

"Tidak mustahil saya akan pertimbangkan satu hari nanti bila masa dan keadaan sudah berubah. Segalanya mungkin. Tapi di hari ini, perkara ini (masuk mana-mana parti) belum terlintas lagi dalam fikiran saya," katanya.

Tiada ulasan: