HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Jun 2008

RM100j bantu golongan gaji rendah di bandar
Oleh Daliza Ariffin


KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan dana RM100 juta melalui Skim Kewangan Mikro Bandar Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membantu golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan kini berpeluang memperoleh pinjaman AIM di bawah skim itu.

“Skim ini dibuka kepada semua rakyat Malaysia yang layak tanpa mengira jantina dan kaum,’’ katanya ketika berucap pada majlis pelancaran skim itu di Perumahan Rakyat Sri Semarak, Setapak di sini hari ini.

Nor Mohamed berkata, buat permulaan, pinjaman berkenaan akan diagihkan di Lembah Klang sebelum diikuti bandar-bandar utama lain di seluruh negara.

Menurutnya, sebanyak 19,000 isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut menjelang akhir tahun ini.

“Kerajaan bersedia menambah peruntukan untuk skim itu pada masa depan jika ia mendapat permintaan yang memberangsangkan.

“Bagaimanapun, prestasi bayaran balik perlu diutamakan kerana ia boleh memastikan lebih banyak peminjam berpeluang menikmati kemudahan tersebut secara berulang pada masa depan,’’ jelasnya.

Mengambil contoh Skim Kredit Amanah Ikhtiar yang disalurkan oleh AIM sejak dua dekad lalu kepada isi rumah miskin, Nor Mohamed berkata, kadar bayaran balik oleh para peminjamnya kini hampir 98 peratus.

Katanya, 90 peratus isi rumah miskin yang menceburi perusahaan mikro secara berterusan di bawah skim itu juga berjaya memperoleh pendapatan melebihi garis kemiskinan.

“Lebih unik lagi, skim ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kaum wanita,” ujarnya.

Mengenai Skim Kredit Amanah Ikhtiar itu, beliau menjelaskan, jumlah pinjaman terkumpul kini mencecah RM2.52 bilion melibatkan seramai 181,215 isi rumah miskin di luar bandar.

Tiada ulasan: