HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Jun 2008

"Kabinet tidak pernah arah batal guna dakwat" Nazri
Oleh Bernama


Kuala Lumpur: Jemaah menteri tidak pernah mengarahkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum Mac lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata walaupun jemaah menteri tidak menyokong cadangan penggunaan dakwat kekal itu namun mereka hanya meminta Abdul Rashid menimbangkan perkara itu dengan mengambil kira isu bahawa pelaksanaan itu mungkin bercanggah dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara ini berbangkit di mesyuarat jemaah menteri dua minggu sebelum pembubaran Parlimen," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) pada persidangan Dewan Rakyat hari Selasa.

Lim dalam soalannya ingin tahu sama ada tindakan diambil ke atas Pengerusi SPR yang telah diarahkan oleh Kabinet untuk membatalkan celup jari empat hari sebelum hari pengundian, dan mendakwa Abdul Rashid bersama-sama Peguam Negara dan Ketua Polis Negara telah menipu rakyat bahawa sebab keselamatan memerlukan pembatalan penggunaan dakwat itu.

Mohamed Nazri berkata peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak seseorang pemilih berdaftar untuk mengundi tanpa syarat termasuk syarat mencalit jari dengan dakwat kekal.

"Hak untuk memilih tidak boleh dinafikan kepada pemilih yang tidak mahu mencalit jari mereka atau mereka yang telah dicalit jarinya, hak untuk mengundi hanya boleh dinafikan jika pemilih berdaftar hilang kelayakan untuk mengundi di bawah undang-undang," katanya.

Beliau berkata SPR diberitahu oleh jemaah menteri mengenai isu itu dan SPR menjawab dengan cadangan bahawa mereka akan menyediakan borang sumpah di setiap tempat mengundi bagi mereka yang telah mengundi tetapi tidak mahu dicalit.

"Jemaah menteri telah menjawab balik bahawa cadangan ini tidak akan dapat mengelak daripada pengundian dua kali, namun keputusan sama ada untuk meneruskan penggunaan dakwat kekal atau tidak masih terletak pada SPR sebagai autoriti yang kompeten dan bebas," katanya.

Mohamed Nazri berkata kerajaan juga belum bercadang untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap Pengerusi SPR atas kenyataannya yang beliau telah diarah oleh jemaah menteri untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal.

"Kerajaan menghormati SPR sebagai badan bebas dan jika ada percanggahan kerajaan akan menjelaskan apa yang berlaku dari sudut pandangan kerajaan.

"Namun begitu, kerajaan benar-benar berharap bahawa SPR akan menjauhi kenyataan yang mungkin mengelirukan demi kredibiliti institusi SPR dan kewibawaan proses demokrasi dan pilihan raya itu sendiri," katanya.

Tiada ulasan: