HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 November 2008

Anggota trafik cedera parah dipercayai dilanggar mat rempit

BERNAMA


ALOR STAR: Seorang anggota polis trafik cedera parah di bahagian kaki selepas dirempuh dan kakinya digilis sebuah motosikal dipercayai ditunggang oleh ’Mat Rempit’ dalam satu sekatan jalan raya berhadapan Masjid Zahir di sini, malam tadi.

Lans Kpl Zahan Abdul Rahman, 47, dari cawangan Trafik Kota Star berkata, kejadian berlaku kira-kira pada pukul 10.30 malam, dua jam selepas sekatan bermula di Lebuhraya Sultan Abdul Halim itu.

Katanya, seorang penunggang motosikal dipercayai ’Mat Rempit’ tidak memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan selepas diarahkan berbuat demikian.

Zahan berkata, akibat rempuhan itu, beliau terpelanting beberapa meter, dan kaki kanannya digilis tayar motosikal tersebut.

“Penunggang motosikal berusia awal 20-an itu terjatuh dan melarikan diri meninggalkan motosikal di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Katanya, selepas insiden itu, beberapa rakannya cuba mengejar penunggang motosikal tersebut, namun gagal menjejakinya.

Anggota polis trafik berkenaan yang turut cedera di bahagian kepala dan mulut kemudian dihantar ke HSB untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Star, ACP Abdul Ghafar Rejab mengesahkan menerima laporan dan menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian menghubungi polis di talian 04-7321222 bagi membantu siasatan.

“Kita akan mengesan suspek berdasarkan motosikal yang ditinggalkan,” katanya, di sini, hari ini.

Tiada ulasan: