HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 November 2008

Ceramah angkasawan RM8,000: Mosti akui terima aduan

Azamin Amin


KUALA LUMPUR - Setelah beberapa siri penafian oleh Dato' Dr Sheikh Muszaphar Shukor di media berhubung laporan pendedahan akhbar Harakah dan laman web Harakahdaily.net berhubung mengenakan caj siri ceramah sehingga RM8,000 sejam, kini Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sudah pun menerima aduan awam bersabit isu angkasawan negara itu.

Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Menterinya Fadillah Yusof yang dipetik daripada satu laporan portal dan akan menjalankan siasatan lanjut terhadap aduan terbabit.

"Pihak kami memang ada menerima aduan daripada orang ramai berhubung isu ini (angkasawan).

"Kami tidak boleh dedahkan kepada anda berapa jumlah laporan yang diterima setakat ini kerana semuanya masih dalam siasatan," katanya.

Katanya kementerian hanya akan memulakan siasatan berhubung aduan yang diterima daripada orang ramai itu setelah tempoh dua minggu yang diberikan kepada awam sebelum ini tamat Jumaat ini.

"Kami akan hanya membuka aduan daripada orang awam berhubung isu ini Isnin hadapan. Selepas itu, barulah kami akan jalankan siasatan lanjut terhadap aduan-aduan yang telah diterima,"kata Timbalan Menteri itu.

Tambahnya, selepas menjalankan siasatan terperinci berhubung aduan dan kenyataan angkasawan yang telah direkodkan sebelum ini barulah laporan penuh akan dihantar kepada menteri berkenaan.

"Saya perlu memperincikan aduan orang ramai yang diterima dan kenyataan daripada beliau (Sheikh Muszaphar) sebelum ini. Selepas itu barulah saya akan siapkan laporan penuh untuk diserahkan kepada menteri terlibat," katanya.

Jelas beliau, laporan penuh berhubung isu angkasawan negara ini dijangka siap sepenuhnya awal bulan depan.

"Namun semuanya bergantung kepada siasatan yang dijalankan jika tiada maklumat tambahan diperlukan dalam kes ini, ia (laporan) dapat disiapkan cepat,"kata Fadillah.

Sebelum ini Mosti meminta supaya pihak yang mendakwa dikenakan bayaran dalam siri ceramah angkasawan negara itu supaya tampil mengemukakan maklumat kepada kementeriannya bagi membantu siasatan. - mks. _

Tiada ulasan: