HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 November 2008

Dana khas bela nasib janda dan ibu tunggal

Ekmal Yusof


IPOH - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berjanji memperuntukkan sebanyak RM1juta bagi membela nasib janda-janda di negeri ini untuk memperbaiki taraf hidup keluarga mereka.

Berucap menggulungkan Bajet 2009 di Persidangan Akhir Dewan Negeri di sini kelmarin beliau menyatakan akan menggunakan dana tersebut untuk Tabung Pinjaman Perniagaan Kecil tanpa faedah dengan kadar pinjaman maksimum RM5,000 bagi setiap seorang janda atau ibu tunggal yang menyertai skim itu.

Katanya, Kerajaan Pakatan Rakyat memang perihatin terhadap nasib ibu tunggal yang kematian suami dan berpisah hidup dengan menyara anak-anak.

"Diharapkan nasib ibu-ibu tunggal yang mendapat bantuan daripada kerajaan akan terbela dengan menyertai program Pinjaman Perniagaan Kecil kerana di samping mengalakkan mereka berdikari, mereka diharapkan akan menjadi usahawan yang berjaya," katanya.

Bagi melaksanakan program tersebut, beliau menyatakan akan menubuhkan satu Jawatankuasa Penyelaras Pinjaman Perniagaan Kecil melalui Yayasan Perak dengan menyediakan dokumen dan syarat-syarat tertentu.

"Semoga dengan hasrat murni Dasar Negeri Berkebajikan ini, ibu-ibu tunggal akan dapat memajukan persekolahan anak-anak hingga ke peringkat IPTA dan berdaya maju dalam perniagaan mereka," katanya. - mns_

Tiada ulasan: