HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 November 2008

Dokumen perjanjian konsesi lebuh raya boleh didapati umum mulai 1 Jan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kesemua 22 syarikat konsesi lebuh raya di seluruh negara kecuali Maju Expressway, yang mengendalikan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya, bersetuju untuk mendeklasifikasikan perjanjian konsesi lebuh raya antara kerajaan dengan syarikat terbabit kepada umum.

Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed berkata dokumen perjanjian tersebut boleh didapati mulai 1 Jan depan.

Katanya keputusan mendeklasifikasikan dokumen perjanjian tersebut dicapai berikutan persetujuan Kabinet pada mesyuarat 17 Okt lepas terhadap memorandum kementerian itu yang bertajuk "Pengelasan Semula Semua Penjanjian Konsesi Lebuh raya Yang Sedang Beroperasi Supaya Dapat Didedahkan Kepada Umum".

"Kabinet bersetuju supaya perjanjian konsesi lebuh raya yang sedang beroperasi dikelaskan semula selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas mendapat persetujuan daripada syarikat konsesi sejajar dengan peruntukan klausa kerahsiaan yang termaktub dalam perjanjian terbabit.

"Selepas itu, saya telah mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk berurusan dengan syarikat konsesi bagi mendapatkan keputusan mereka supaya menjadikan umum perjanjian-perjanjian ini. Semua mereka telah bersetuju kecuali satu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Keputusan kerajaan untuk mendeklasifikasikan perjanjian tersebut adalah berikutan banyak pihak yang mendakwa perjanjian itu berat sebelah yang lebih menguntungkan pemegang konsesi tol.

Dengan mendeklasifikasikan dokumen tersebut, orang ramai akan dapat meneliti semua aspek operasi syarikat konsesi lebuh raya termasuk aliran kewangan syarikat terbabit.

Mengenai Maju Expressway Berhad yang mengendalikan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya, Zin bagaimanapun berkata beliau menjangkakan menerima keputusan daripada pihak pengurusannya berkenaan perkara tersebut dalam masa terdekat.

"Mereka belum lagi bersetuju, tetapi saya rasa mereka mungkin akan bersetuju," katanya.

Tiada ulasan: