Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
MELAKA: Tindakan seorang peniaga mengubah suai sistem gas asli kenderaan (NGV) pada kenderaannya menggunakan tong gas memasak, membawa padah apabila dia maut selepas tangki itu meletup di sebuah stesen minyak di Jalan Datuk Seri Md Zin Abd Ghani, Batu Berendam, dekat sini, malam semalam.
Dalam kejadian jam 7.51 malam itu, kaki kiri Muhammad Hailmi Ishak, 25, hancur sehingga serpihan tulangnya tertinggal di dalam kenderaan terbabit dan perutnya terburai.
Mangsa yang berasal dari Kampung Parit Yusof Laut, Parit Sulong, Johor, meninggal dunia lima jam selepas dirawat di Hospital Melaka (HM). Abang mangsa, Mohd Rosli Ishak, 30, dan seorang lagi rakan mereka, Razali Md Zin, 31, yang berada di tempat kejadian cedera parah akibat letupan itu.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Jalan Kubu, Komander Mokhtar Osman, berkata mangsa dipercayai berada di bahagian pemandu kenderaan terbabit dan tangki gas berkenaan terletak di bahagian bawah tempat duduk di hadapan.
"Siasatan awal mendapati letupan terbabit dipercayai berlaku akibat pengubahsuaian sistem NGV yang menggunakan tong gas memasak selain kegagalan mematikan enjin kenderaan ketika mengisi gas.
"Sistem NGV yang diubahsuai itu juga dipercayai dibuat sendiri oleh pemilik van berkenaan dan tangki gas memasak yang diletakkan di bahagian bawah tempat duduk di bahagian hadapan kenderaan itu hanya ditutup menggunakan kanvas," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Mokhtar berkata, pasukan bomba mengambil masa 20 minit untuk menyelamatkan mangsa yang kemudiannya dikejarkan ke HM.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan R Gunarajan ketika dihubungi berkata, polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
Sementara itu, bapa mentua mangsa, Zamrin Ibrahim, 50, berkata mangsa bersikap pelik pada isterinya, Norshahirah Zamrin, 23, sehari sebelum kejadian.
"Anak saya memaklumkan suaminya (mangsa) bertanyakan soalan "Kalau saya mati awak menangis tak? Kalau saya mati awak kahwin lagi tak?" sehari sebelum beliau meninggal dunia. Anak saya hanya menangis apabila ditanya begitu," katanya yang ditemui di bilik mayat HM, semalam.
Beliau berkata, Mohd Hailmi dan Norshahirah baru mendirikan rumah tangga awal Julai lalu dan isterinya kini mengandung dua bulan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut meluangkan masa pagi semalam menziarahi jenazah serta dua mangsa yang cedera dalam kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan