HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 November 2008

Usahawan Cina yakin kuasa beli rakyat Kelantan tinggi

Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU - Sebelum ini pemimpin Umno kerap kali memperlekehkan Kelantan tidak membangun di bawah pentadbiran PAS, sedangkan apa yang sebenar berlaku kewujudan pusat-pusat perniagaan baru tumbuh seperti cendawan.

Ini secara tidak langsung menggambarkan tomahan liar pemimpin Umno hanya bersifat politik kerana tiada modal lain untuk memancing rakyat Kelantan.

Dan hari ini sebuah lagi restoran makanan ala barat, London Fish Tales dibuka secara rasmi di Tesco Mall, Lembah Sireh dekat ini.

Syarikat tersebut merupakan rangkaian syarikat di bawah Revenue Valley Sdn Bhd mempunyai restoran pertama di KLCC yang dibuka akhir tahun lepas.

Pengarah Urusan London Fish Tales, George Ang berkata, pembukaan cawangan pertama di Kota Bharu kerana pasarannya begitu tinggi dan rakyat Kelantan didapati menggemari makanan berasaskan ikan.

Majlis tersebut diserikan dengan peraduan melukis anak-anak dari Taman Sabariah, Pengkalan Chepa.

Ang berkata, kerjasama yang diberikan kerajaan negeri juga menarik minat syarikatnya membuka cawangan di Kelantan sebagai tempat kedua selepas Kuala Lumpur.

Beliau juga berharap agar masyarakat di Kelantan dapat menerima restoran ala barat yang menyajikan pelbagai sumber protein dan ia sesuai untuk seisi keluarga dengan harga berpatutan.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi galakkan dan peluang kepada mana-mana syarikat yang berminat membuka restoran atau kedai produk berasaskan hidupan laut di negeri ini.

Katanya, pembukaan restoran tersebut merupakan satu penghormatan kepada syarikat besar berteraskan bidang pemakanan bagi memberi pilihan kepada rakyat Kelantan.

"Saya sendiri ternanti-nanti untuk mencuba makanan laut ala barat yang terkenal ini," ujarnya.

Dengan pembukaan restoran ini juga katanya dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan dapat mengurangkan penggangguran.

"Kerajaan negeri mengucap syabas kepada London Fish Tales yang membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini. Saya juga berharap lebih banyak lagi restoran seumpama ini dibuka di Kelantan," katanya. - mj _

Tiada ulasan: