HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 Januari 2009

9 borang penamaan calon diambil

Oleh G. MANIMARAN


KUALA TERENGGANU: Sembilan borang penamaan calon telah dikeluarkan oleh Pejabat Pilihan Raya Terengganu sempena pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Penamaan calon diadakan Selasa ini.

"Sembilan borang telah diambil (setakat ini), tetapi tidak semestinya semua yang mengambil borang akan bertanding.

"Kalau ramai ambil borang, bagus juga," kata Timbalan Setiausaha (Operasi) Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Noordin Che Ngah di sini hari ini.

Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran 28 Disember lalu.

Pada 8 Mac lalu, kerusi itu menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Razali, Mohamad Sabu dari PAS dan calon Bebas, Maimun Yusof yang berusia 89 tahun.

Pada pilihan raya umum lepas, Maimun memperoleh 685 undi manakala Razali yang mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 32,562 undi dan Mohamad (31,934).

Menurut Noordin, Maimun juga layak bertanding kerana telah mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya umum lalu.

"Maimun juga layak, beliau telah menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya kepada SPR," katanya.

Setakat ini, BN dan PAS telah mengumumkan calon masing-masing manakala Maimun sudah menyatakan tidak mahu tanding lagi.

Selain itu, dua calon Bebas dan wakil Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) juga telah menyatakan kesediaan mahu mencuba kali ini.

Dalam pada itu, Noordin berkata, pihaknya akan mengumumkan status pertandingan antara pukul 11.30 pagi dan 12 tengah hari iaitu sebaik sahaja sesi bantahan berakhir.

Proses penamaan calon akan berlangsung di Stadium Negeri.

Noordin juga berkata, SPR juga menyediakan 143 saluran di 36 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Mengenai jumlah pengundi berdaftar yang direkodkan untuk pilihan raya kecil, beliau berkata, seramai 80,229 orang layak mengundi berbanding 80,325 pengundi pada 8 Mac lalu.

"Ia dilihat berkurangan sedikit disebabkan faktor kematian dan pertukaran alamat yang telah kita kemas kini," katanya.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai empat kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Wakaf Mempelam yang mempunyai 20,629 pengundi berdaftar, Bandar (18,833), Ladang (16,780) dan Batu Buruk (23,987).

Daftar pemilih bagi kawasan Parlimen itu telah diwartakan pada 5 Disember lepas.

Noordin berkata, bagi melancarkan perjalanan pilihan raya itu nanti, SPR juga menempatkan sebanyak 881 petugas di pusat-pusat mengundi.

Tiada ulasan: