BERNAMA
KUALA TERENGGANU: PAS berkata penyokongnya telah dinasihatkan supaya menjaga tatasusila bagi mengelak kemungkinan berlaku kekecohan semasa proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu esok.
Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Pas, Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong berkata pihaknya juga telah menemui Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan dan Datuk Bandar, Datuk Razali Kassim bagi membincangkan laluan dan peraturan yang perlu dipatuhi mereka.
"Kita akan terus mencabar penyokong-penyokong BN tetapi dari segi prinsip bukan secara fizikal. Lagipun ramai polis, FRU ada untuk kawal keadaan," katanya pada persidangan berita di sini, Isnin.
Katanya, perarakan membawa calon parti itu, Abdul Wahid Endut yang turut diiringi pemimpin Pakatan Rakyat akan bermula di Jalan Pusara di sini bermula 7.30 pagi esok.
Proses penamaan calon akan berlangsung di Stadium Negeri di Jalan Sultan Mahmud mulai pukul 8 pagi.
Sementara itu Wan Abdul Muttalib menafikan parti itu menggunakan taktik serangan peribadi terhadap calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebaliknya menumpukan kepada keupayaan serta sumbangan yang telah diberikan kepada rakyat dalam meraih sokongan pengundi.
Pilihan raya kecil 17 Jan itu ekoran kematian ahli Parlimen kawasan itu yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail 28 Nov lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan