HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 Januari 2009

Pilihan raya kecil: Farid kekal timbalan menteri jika menang

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]


KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh akan kekal sebagai Timbalan Menteri jika beliau menang pilihan raya kecil itu 17 Januari ini.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Hotel Felda Residence di sini, sebentar tadi.

"Perdana Menteri dan saya boleh sahkan beliau akan kekal sebagai Timbalan Menteri kalau menang.

"Saya berharap rakyat akan memberi sokongan padu (kepada Wan Ahmad Farid) mulai esok," katanya.

Bagaimanapun, Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno tidak menyatakan portfolio yang bakal disandang Wan Ahmad Farid jika menang.

Semalam, Wan Ahmad Farid berkata, beliau telah meletak jawatan sebagai Senator berkuat kuasa hari ini, sehari sebelum hari penamaan calon.

Katanya, surat peletakan jawatan tersebut telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Negara minggu lalu.

Farid, 46, telah dipilih untuk mewakili Umno dan BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Pengumuman pemilihan beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu diumumkan dua minggu lalu.

Beliau perlu melepaskan jawatan anggota Dewan Negara bagi membolehkannya bertanding dalam pilihan raya.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian ahli Parlimennya, Datuk Razali Ismail yang juga merupakan Timbalan Menteri Pelajaran akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands 29 Novemver lalu.

Pada pilihan raya umum lepas, Razali menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Tiada ulasan: