Wartawan Buletin
KUALA TERENGGANU – Penganjuran ‘Night Market’ atau Pasar malam di Pusat Dagangan Terengganu (Terengganu Trade Centre) gagal menarik pengunjung dan hanya bertahan beberapa hari sahaja.
Program yang dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu itu juga telah mengalami kerugian puluhan ribu ringgit membeli segala kemudahan seperti kanopi serta gerai yang disediakan kepada para peniaga.
YPU mula menganjurkan pasar malam bermula 1 Mei lalu dilaporkan sebagai usaha memberi peluang kepada usahawan di negeri ini menjual barangan mereka pada waktu malam.
Pengurus Besar YPU, Azmi Razik berkata (gambar bawah), ‘night market’ itu dibuka bermula jam 8 malam sehingga 4 pagi setiap hari kecuali Isnin di kawasan tempat letak kereta di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) bertujuan memeriahkan kembali Terengganu yang sebelum ini dilihat suram dan sunyi.
“Saya percaya, usaha yang dilakukan ini turut memberi peluang kepada pelancong membeli barangan dengan harga murah.
“Pasar malam ini, saya percaya, ia juga dapat mengatasi masalah sosial dalam kalangan belia di negeri ini,” katanya.
http://www.buletinonline.net/images/stories/berita5/azmirazik.jpgNamun begitu seramai 53 pengusaha terbabit menjual barangan mereka di pasar malam berkenaan terpaksa ‘gulung tikar’ kekurangan pelanggan.
Tinjauan Buletin Online mendapati orang ramai yang ditemui tidak tahu tentang kewujudan pasar malam ‘dinihari’ yang dianjurkan kerajaan itu.
Seorang pesara kerajaan terkejut apabila diajukan pertanyaan tentang ‘pasar malam’ sehingga jam 4 pagi berkenaan dan berkata ianya adalah diluar dari ‘tabiee’ masyarakat Terengganu.
Haji Mohamad Said, 65, berkata, walaupun pernah diadakan Ekspo peringkat Nasional di Kuala Terengganu seperti Hari Petani, Penternak dan Nelayan, jualan hanya setakat jam 12 malam sahaja.
“Selepas 12 malam, tak ada siapa yang akan membeli, kalau di Kuala Lumpur lain, banyak perniagaan dan aktiviti ekonomi bergerak 24 jam,
“orang bekerja siang dan malam, sudah tentu ada pelanggan kerana ada yang tidak tidur malam kerana bertugas,
“ini Kuala Terengganu, tak ada satu pun kilang yang beroperasi selama 24 jam,”katanya yang menyifatkan tindakan YPU sebagai sesuatu yang pelik.
Seorang suri rumah turut memberikan respon yang sama, tidak tahu kewujudan pasar malam berkenaan.
Beliau yang mahu dikenali sebagai Kak Siti berkata, sekiranya ia masih wujud sekalipun, beliau tidak menyokong tindakan kerajaan itu.
“Saya rasa ianya bukan mengurangkan masalah sosial, malah akan menambahkan gejala kurang sihat, anak-anak muda berpeleseran sehingga dinihari, tentu menimbulkan masalah,
“waktu tengah malam untuk berehat, bukan untuk membeli belah,”tambahnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan