BERNAMA
PUTRAJAYA: Hakim yang tidak mampu membuat keputusan dengan cepat adalah hakim yang kurang baik, kata Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi.
Katanya, satu daripada faktor menilai sama ada seseorang hakim itu bagus atau tidak ialah kemampuannya membuat keputusan tanpa berlengah dan menyediakan alasan penghakimannya.
"Malah, dalam kes membabitkan hukuman mati, setiap sabitan pasti akan dirayu oleh tertuduh sehingga pada peringkat mahkamah tertinggi, tiada sebab bagi hakim yang mengendalikan kes tidak menulis alasan penghakimannya walaupun sebelum mengumumkan keputusannya," katanya, semalam.
Beliau berkata, sebarang kelewatan dalam memulakan perbicaraan, memerintah tertuduh membuat pembelaan, membuat keputusan pada akhir perbicaraan atau menulis alasan penghakiman boleh menyebabkan berlaku ketidakadilan.
Beliau membuat teguran itu berhubung kelewatan empat tahun dan lima bulan seorang Hakim Mahkamah Tinggi untuk memanggil Ghazalee Kassim dan Mohamad Junaidi Hussin, kedua-duanya penganggur dan Mohd Salleh Yunos, seorang pemandu teksi, membuat pembelaan kerana dituduh mengedar 50 kilogram (kg kanabis), sembilan tahun lalu.
Zaki yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff bagaimanapun menolak rayuan tertuduh berhubung sabitan dan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2007.
Beliau juga berkata, satu tempoh tertentu perlu diberikan agar hakim dapat menilai keterangan serta merujuk kepada peruntukan undang-undang.
"Sebarang keputusan secara tergesa-gesa juga bukan keputusan yang baik kerana hakim tidak menimbang dengan betul semua isu mengenai fakta dan perundangan. Sebaliknya, kelewatan yang melampau akan merugikan semua pihak, sama ada pihak pendakwaan atau pembelaan," katanya. Merujuk kepada kes berkenaan, Zaki berkata dalam mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap tiga tertuduh berkenaan, Mahkamah Rayuan menimbang dengan tepat semua alasan penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi dan membuat keputusan yang betul bahawa kelewatan bukannya satu faktor ketidakadilan kepada mereka.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua hakim bahawa kes itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk mengambil masa lama untuk membuat keputusan dan menulis alasan penghakiman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan