BERITA HARIAN ONLINE
KERAJAAN menafikan dakwaan penubuhan Kompeni Askar Wataniah (AW) di semua 222 kawasan Parlimen yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai agenda politik dan untuk ditugaskan ketika pilihan raya umum.
Menjawab soalan Charles Santiago (DAP-Klang), Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata 45,000 anggota AW di seluruh negara adalah orang awam yang tidak layak mengundi secara pos seperti anggota tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sebaliknya, penubuhan Kompeni AW bertujuan membantu Tentera Darat dalam operasi keselamatan dalam negeri dan membantu pihak berkuasa awam ketika bencana alam.
Katanya, sehingga November 2007, sebanyak 97 kompeni ditubuhkan di kawasan Parlimen.
"Asas penubuhannya bergantung pada jumlah penyertaan masyarakat tempatan dengan penyertaan minimum 100 orang,“ katanya.
Penubuhan juga tidak membabitkan unit baru atau pembinaan kem baru, sebaliknya menggunakan Rejimen AW sedia ada," katanya menjawab soalan Charles Santiago (DAP-Klang).
Dr Ahmad Latiff berkata, penubuhan AW selaras sistem peperangan terkini yang berbeza dengan peperangan dulu yang memerlukan negara menyediakan pasukan sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau berkata, kerajaan belum bercadang menambah bilangan rejimen berkenaan kerana bilangan 16 sudah mencukupi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan