UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan tegas menyaman serta-merta pemilik rumah atau premis yang didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan, mereka yang didapati bersalah tidak akan diberi sebarang amaran atau nasihat lagi berikutan kementerian kini lebih tegas dalam melaksanakan program membasmi denggi.
Katanya, pemeriksaan di kawasan kediaman dan premis kini giat dijalankan oleh pegawai kesihatan.
"Bila pegawai kesihatan yang menjalankan tugas nampak jentik-jentik sahaja, mereka akan terus saman, tidak akan beri nasihat lagi.
"Sudah cukup kita memberikan nasihat melalui iklan dan media, tetapi orang ramai masih memandang remeh," tegas beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Sekolah Peringkat Wilayah Persekutuan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Pelajaran di sini hari ini.
Sementara itu, ditanya mengenai kegagalan doktor-doktor terlatih dan hospital-hospital swasta mengesan simptom awal denggi dalam kalangan pesakit yang dilaporkan pada 11 Jun lalu, Tiong Lai berkata, notis amaran telah dikeluarkan kepada pihak hospital dan klinik terbabit.
Katanya, kementerian akan membuat pemeriksaan di hospital-hospital itu dan sekiranya mereka masih gagal melaporkan kes denggi, pihaknya akan mengenakan kompaun sehingga RM10,000 atau penjara selama dua tahun.
Dalam pada itu, Tiong Lai menyarankan orang ramai membersihkan kawasan kediaman masing-masing bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes pada musim panas sekarang ini.
''Nyamuk aedes tidak dapat membiak apabila panas, bagaimanapun, ia boleh bertahan selama enam bulan walaupun tiada air.
"Oleh itu, saya berharap orang ramai segera membersihkan kawasan rumah kerana apabila hujan, bila-bila masa sahaja, nyamuk aedes boleh membiak," jelasnya.
Mengenai COMBI pula, beliau memberitahu, pihaknya mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran untuk mewujudkan program COMBI itu di semua sekolah seluruh negara.
Beliau berkata, program membabitkan semua peringkat umur iaitu bermula daripada kanak-kanak sekolah itu begitu penting dalam usaha pembasmian denggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan