UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Tokoh-tokoh agama dan pendidik hari ini menyeru semua pihak berpadu tenaga membantu golongan 'mak nyah' kembali menjalani kehidupan sebagai lelaki normal.
Mereka berkata, golongan tersebut tidak boleh dibiarkan hidup dalam 'kelompok sendiri' kerana dikhuatiri mengakibatkan masalah sosial lain termasuk seks bebas yang merosakkan bangsa dan negara.
Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadut berkata, trend lelaki mahu menjadi 'wanita' sudah semakin serius dan perlu dibendung serta merta.
"Semua pihak mesti melihat isu ini secara serius kerana golongan tersebut semakin bertambah melibatkan anak-anak awal remaja.
"Satu program pemulihan khas perlu diadakan untuk membantu 'mak nyah' kembali ke pangkal jalan. Mereka itu 'sakit' dan perlu dirawat. Mereka boleh pulih kerana setiap penyakit ada ubatnya," kata beliau kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas Laporan Khas Utusan Malaysia semalam mengenai kecenderungan golongan lelaki lembut dan 'mak nyah' makan pil perancang untuk jadi wanita.
Mengulas lanjut, Noh berkata, golongan 'mak nyah' wajib bertaubat nasuha dan jangan mengulangi perbuatan yang dilaknati Allah itu.
Selain itu, beliau meminta kerajaan memperketatkan kawalan ubat-ubat perancang agar tidak disalahgunakan oleh orang ramai.
"Ahli farmasi janganlah membekalkan pil-pil perancang sewenang-wenangnya. Beri kepada perempuan yang memerlukan saja," katanya.
Perunding motivasi dan pendakwah negara, Ahmad Syukri Yusoff berpendapat golongan 'mak nyah' tidak dipinggirkan terus daripada masyarakat.
"Selain menasihatkan mereka supaya muhasabah diri 'mak nyah' perlu dibimbing supaya kembali ke pangkal jalan," katanya.
Pensyarah Kanan Profesor Madya Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah A. Ghani berkata, gejala 'mak nyah' di institusi pengajian tinggi (IPT) sudah dikesan sejak lebih lima tahun lalu.
Katanya, kebanyakan yang menjadi 'mak nyah' adalah pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelajaran termasuk lulusan ekonomi dan kejuruteraan gara-gara terpengaruh dengan rakan-rakan.
"Golongan ini semakin bertambah. Jika ada program khas yang dilaksanakan secara berterusan gejala itu boleh dikawal," katanya yang berpengalaman membantu memulihkan 'mak nyah' IPT pada 2004.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan