KUALA LUMPUR: Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa Umno BN menterjemahkan kesungguhan mereka bermuzakarah dengan PAS berhubung isu pelaksanaan Undang-undang Syariah.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, jika benar Umno BN ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam perlaksanaan undang-undang syariah ini, maka ahli parlimen mereka perlu menyokong usul tersebut sekiranya dibentang kelak.
"Malah jika dia (Umno BN) betul-betul ikhlas, seelok-eloknya menteri sendiri bawa usul berkenaan perkara ini, mengambil kira kesediaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk bermuzakarah berhubung isu ini dengan PAS," katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, pengalaman lalu menyaksikan usul-usul yang pernah dibawa oleh PAS bukan sahaja tidak disokong malah tidak sempat dibahas pun kerana ditolak awal-awal lagi oleh kerajaan.
Beliau merujuk kepada satu usul yang pernah dibentang Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung isu penghapusan etnik di Bosnia yang ditolak oleh kerajaan.
Bagaimanapun usul sama yang kemudiannya dibawa oleh menteri tidak berapa lama selepas itu, diluluskan sebulat suara dengan mudah selepas dibahaskan.
Mahfuz berkata, umum menyedari hakikat bahawa hasrat perlaksanaan undang-undang Syariah ini hanya akan tercapai jika Perlembagaan Persekutuan dipinda kerana terikat dengan Akta Mahkamah Syariah 1965 di mana kuasa Dun dan bidang kuasa mahkamah syariah adalah tertakluk kepada akta tersebut.
Maka bagi tujuan itu, kesungguhan dan ikhlasan dari kerajaan sangat dituntut, sekurang-kurangnya bagi membolehkan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II negeri itu.
Di peringkat PAS pula katanya, Lajnah Undang-undang PAS dicadang duduk semeja dengan Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Kelantan bagi membincangkan draf usul yang akan dibawa sebagai Undang-undang Persendirian ke parlimen.
"Kita ahli parlimen PAS bersedia, dan kita harap kerajaan Kelantan bincang dengan PAS Pusat untuk lihat perkara ini dengan lebih mendalam," katanya.
Ahad lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penangguhan di Muktamar Tahunan PAS ke-59 melahirkan kesediaan bermuzakarah dengan Umno dalam usaha untuk melaksana undang-undang syariah Islam di negara ini.
Kenyataan itu disambut baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengatakan Umno bersikap terbuka untuk bermuzakarah dengan PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan