PAS perlu fokus mengambil kesempatan menggesa
Umno menyokong dan membenarkan pelaksanaan undang-undang syariah hudud
di Kelantan.
SHAH ALAM: PAS Pusat diingatkan supaya mengadakan pertemuan secara terbuka jika serius mahu bermuzakarah dengan Umno.
Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berkata, pertemuan secara terbuka perlu bagi mengelakkan spekulasi liar termasuk desas-desus dakwaan akan berlakunya perbincangan mengenai gabungan kerajaan perpaduan antara Umno-PAS.
“Itu tak timbul. PAS dan Umno tidak boleh bersatu,” katanya ketika ditemui pemberita di uar bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau menyarankan, muzakarah secara terbuka itu termasuk menyiarkan perbincangan secara live di media massa supaya rakyat dapat melihat dan menilai topik yang akan dibincangkan.
ADUN Meru itu menambah, PAS juga perlu fokus kepada tujuan perbincangan asal, iaitu mengenai hal ehwal Islam termasuk mengambil kesempatan menggesa Umno menyokong dan membenarkan pelaksanaan undang-undang syariah hudud di Kelantan.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ahad lalu menyatakan kesediannya bermuzakarah dengan Umno, tetapi mensyaratkan hanya fokus kepada hal ehwal Islam sahaja.
Beliau ketika ucapan penggulungannya sempena Muktamar Tahunan ke-59 PAS menegaskan, kerjasama berkenaan adalah bagi kepentingan umat Islam di negara ini.
Hasrat itu kemudiannya disambut baik Pengerusi Umno, Datuk Seri Najib Razak yang akan bertemu dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob sebagai tanda inisiatif awal usaha tersebut.
Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai halangan, bagaimanapun menegaskan beberapa skop perbincangan perlu diteliti terlebih dahulu sebelumm muzakarah diadakan.
Sementara itu, Adun pembangkang daripada Permatang Sulaiman Abdul Razak ketika ditemui mempersoalkan keikhlasan PAS mahu bertemu dengan Umno.
Walaupun mengalu-alukan usaha tersebut, Sulaiman berkata muzakarah itu dilihat seperti PAS mahukan satu ruang yang lebih besar dalam Pakatan Rakyat supaya DAP dan PKR kemudiannya akan lebih menghormati dan memberi perhatian kepada suara PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan